3 Tunggak Pacu Kecemerlangan Perkhidmatan Warga KPT

3 Tunggak Pacu Kecemerlangan Perkhidmatan Warga KPT

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) amat menghargai warganya yang sentiasa memberikan perkhidmatan yang cemerlang kerana komitmen dan sumbangan mereka telah membantu melicinkan pelaksanaan perancangan dasar serta operasi harian kementerian selama ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPT 2022 di sini pagi tadi.

Seramai 120 orang warga KPT telah diraikan dalam majlis tahunan ini dengan 108 orang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 9 orang menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC), dan 3 orang lagi menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Perdana yang julung kali diadakan.

Dalam ucapannya, YB Menteri Pendidikan Tinggi menggariskan tiga (3) tunggak yang mampu dijadikan pegangan warganya dalam memastikan KPT relevan, berketerampilan dan berupaya menyampaikan perkhidmatan yang cemerlang kepada seluruh lapisan masyarakat.

Pertama, warga KPT adalah tunggak utama kejayaan kementerian melalui prestasi dan budaya kerja cemerlang yang bercirikan sikap proaktif dan mempunyai pelbagai inisiatif dalam menyampaikan perkhidmatan atau melaksanakan tugas masing-masing.

Kedua, kakitangan KPT mestilah terdiri daripada mereka yang sentiasa cakna dan berkebolehan, mempunyai ilmu dan bakat seiring perkembangan sektor pendidikan tinggi dan sistem penyampaian, yang boleh dipertingkat melalui latihan hasil kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), sektor korporat dari dalam mahupun luar negara.

Seterusnya, KPT disaran untuk mengadaptasi dan mengangkat kemajuan teknologi bagi memperkaya kebolehan dan kemahiran warganya supaya mampu melaksanakan perkhidmatan awam dengan cekap, sekali gus berupaya membendung isu ketirisan dan integriti yang sentiasa memberi reputasi negatif kepada sektor ini.

Tambah beliau, kesemua 120 penerima anugerah pada hari ini diharap mampu meneruskan kecemerlangan mereka, di samping menjadi tauladan dan memupuk motivasi kepada rakan-rakan yang lain untuk mencapai kejayaan demi kebaikan perkhidmatan awam dan negara.Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar serta para pengurusan tertinggi KPT yang lain.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3391
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 Julai 2024, 10:52:23.