KPT DI PBAKL2026: YB DATO' SERI DIRAJA DR. ZAMBRY LAWAT PAVILION MAPIM, SERU IPT PERKASA PENERBITAN ILMIAH BERKUALITI

3 Jun 2026 | Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)
Penerbitan ilmiah yang berkualiti dan ekosistem sokongan yang kukuh merupakan antara pemangkin utama kepada usaha memperluas akses masyarakat terhadap ilmu pengetahuan serta memperkukuh peranan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sebagai pusat penghasilan ilmu negara.
Sehubungan itu, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan Pavilion Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada tahun ini.
Beliau secara khusus merakamkan penghargaan kepada Pengerusi MAPIM, Prof. Madya Dr. Siti Rahmah Awang atas komitmen berterusan dalam memastikan Pavilion MAPIM terus menjadi platform utama yang menghimpunkan penerbit universiti dari seluruh negara.
Di samping itu, beliau turut menghargai sokongan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) selaku penganjur PBAKL 2026 serta pengurusan WTCKL yang sentiasa memberikan ruang strategik bagi mengetengahkan hasil penerbitan ilmiah IPT.
Menurut beliau, kerjasama erat antara MAPIM, MBKM, WTCKL dan universiti-universiti telah membolehkan karya akademik tempatan dipamerkan secara lebih tersusun, mudah diakses serta mendapat pendedahan yang lebih meluas kepada masyarakat.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua universiti yang mengambil bahagian kerana berjaya mempamerkan hasil karya masing-masing, sekali gus memperlihatkan kekuatan serta kematangan ekosistem penerbitan akademik negara.
Mengulas mengenai kualiti penerbitan, beliau menyeru warga akademia supaya terus menghasilkan karya yang bermutu tinggi, berautoriti dan mempunyai nilai ilmu yang mampu memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Beliau berkata penerbitan universiti tidak seharusnya terhad kepada komuniti akademik semata-mata, sebaliknya perlu turut berfungsi sebagai medium pemindahan ilmu yang berkesan kepada masyarakat umum melalui kandungan yang relevan dan mudah difahami.
Menurut beliau lagi, universiti tempatan kini memiliki kekuatan keilmuan dan kepakaran yang sangat baik dalam pelbagai bidang, justeru potensi tersebut perlu terus diterjemahkan melalui penerbitan berkualiti tinggi yang mampu meningkatkan keterlihatan sumbangan pendidikan tinggi negara.
Dalam pada itu, beliau berharap lebih banyak Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) swasta, universiti milik kerajaan negeri serta universiti berkaitan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) akan menyertai Pavilion MAPIM pada masa hadapan bagi memperluaskan lagi penyertaan sektor pendidikan tinggi dalam agenda pengembangan ilmu negara.
Lawatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkukuh budaya ilmu, memartabatkan penerbitan akademik dan memperluas akses masyarakat kepada khazanah ilmu yang dihasilkan oleh IPT awam dan swasta.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2026, Mohd Khair Ngadiron; dan Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.
- Last updated on .
- Hits: 30
