Ketua PTJ Perlu Wibawa Jadikan KPT Efisien Dan Cemerlang

Ketua PTJ Perlu Wibawa Jadikan KPT Efisien Dan Cemerlang

YB Menteri Pendidikan Tinggi sewaktu Perutusan Tahun Baharu bulan lalu telah menyatakan azam untuk memacu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) supaya dapat menjadi sebuah Kementerian yang berfungsi dengan efisien dan cemerlang.

Oleh itu, semua Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) dituntut untuk memimpin Jabatan dan institusi masing-masing dengan penuh wibawa dan kerja keras bagi memastikan azam tersebut dapat dicapai dengan jayanya.

Malah, para Ketua PTJ sepatutnya memiliki pengetahuan dan kearifan dengan ilmu pengurusan perolehan dan kewangan dalam misi membentuk barisan kepimpinan organisasi yang berkompetensi dan berprestasi tinggi.

YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha KPT berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Amanat Pegawai Pengawal Bersama Pengarah Institusi dalam Bengkel Pengurusan Perolehan dan Kewangan anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di sini petang tadi.

Bengkel yang bertindak sebagai 'refresher course' tersebut telah memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada para pegawai JPPKK mengenai tatacara pengurusan perolehan dan kewangan yang betul.

Beliau turut menegur para peserta untuk melaksanakan tugasan secara matriks dan interbahagian, bukannya secara sendirian; serta bersikap responsif ke atas apa-apa simptom kepincangan pengurusan kewangan bagi mengelakkan timbulnya isu atau masalah di kemudian hari.

Hadir sama YBhg. Datuk Dr. Mohd. Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT serta YBrs. Dr. Haji Mohd. Zahari Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 4077
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 April 2024, 16:56:01.