Kerjasama Strategik Wilayah Victoria, Australia–Malaysia Ke Arah Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menerima kunjungan hormat daripada Puan Yang Terutama (P.Y.T.) Professor the Honourable Margaret Gardner AC, Gabenor Victoria, Australia di Putrajaya pada petang ini.
Pertemuan tersebut bertujuan untuk membincangkan usaha memperkukuh kerjasama Wilayah Victoria, Australia dengan Universiti-universiti di Malaysia dalam bidang pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan kemahiran serta peluasan rangkaian penyelidikan. YB Menteri turut menekankan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia yang merupakan salah satu teras utama dalam Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035 dalam usaha memperluaskan pendidikan tinggi Malaysia di pentas global.
Turut dibincangkan ialah pengukuhan hubungan antara universiti di Malaysia dan institusi di Victoria termasuk peluasan mobiliti pelajar, pelaksanaan program ijazah berkembar, kerjasama dalam bidang TVET selaras dengan agenda kemahiran negara serta peluang penyelidikan dalam bidang teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (AI). Peranan alumni Malaysia di Universiti-universiti Victoria dalam mengukuhkan hubungan rakyat ke rakyat turut diberi penekanan.
Hadir sama dalam sesi ini ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Dato' Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran; dan Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Encik Novie Tajuddin.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 494