Kerjasama Pendidikan Tinggi EU-ASEAN Bukti Komitmen Bersama Perkasa Modal Insan
Semangat persahabatan dan perpaduan menjadi pemangkin kepada kekuatan kerjasama antarabangsa, sama seperti perumpamaan “seikat bakul lidi, susah dipatahkan”.
Analogi ini dikongsikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud ketika berucap di Majlis Makan Malam Rakan Kerjasama Dialog Dasar EU-ASEAN kali ke-3 di ibu negara semalam.
Bertemakan “Memperkasa Pembangunan Bakat dan Kemahiran Melalui Pengantarabangsaan”, majlis malam tadi dihadiri para pembuat dasar, diplomat, ahli akademik dan pihak berkepentingan dari ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU).
Menurut beliau, walaupun program dialog pada waktu siang menghasilkan strategi dan kerangka kerja, majlis makan malam seperti ini pula membina kepercayaan serta jalinan hubungan.
Katanya, polisi dan dasar hanya menjadi panduan, namun insan yang melaksanakannya, dan hubungan antara insan terjalin erat bukan sahaja di dewan persidangan, tetapi melalui silaturahim.
Beliau turut menekankan bahawa EU dan ASEAN yang dibina atas kepelbagaian sejarah, budaya, dan bahasa berkongsi visi yang sama iaitu keamanan dan kerjasama.
Justeru, setiap pelaburan dalam pendidikan hari ini adalah benih yang disemai untuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran masa hadapan.
Beliau mengulangi komitmen Malaysia untuk terus menyumbang secara aktif kepada kerjasama EU-ASEAN dalam bidang pendidikan tinggi.
Turut hadir Ketua Kerjasama Delegasi EU ke ASEAN, Jerome Pons; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Aneese Ibrahim; Duta Besar Filipina ke Malaysia, TYT Maria Angela A. Ponce; dan Pengarah Pembangunan Manusia, Jabatan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN, Sekretariat ASEAN, Rodora T. Babaran.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 59