Festival Bahasa IPT Pertama Berjaya Perkasa Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu Moden
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited dalam menyokong usaha Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja menguasai bidang ilmu masing-masing, tetapi juga memiliki jati diri kebangsaan yang kukuh melalui pemerkasaan Bahasa Melayu.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menekankan bahawa mahasiswa yang cinta akan bahasanya adalah mahasiswa yang berkeyakinan, matang, dan bersedia menghadapi cabaran global.
Beliau percaya bahawa mahasiswa yang teguh dengan identiti bahasa Melayu tidak akan hilang arah di pentas dunia, sebaliknya akan dikenali sebagai generasi yang berakar di bumi sendiri tetapi mampu terbang tinggi ke persada antarabangsa.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian penutupan Festival Bahasa IPT 2025 yang julung kali diadakan di Anjung Seri Budiman, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pagi tadi.
Festival yang dianjurkan bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan itu merupakan manifestasi cinta dan penghargaan terhadap bahasa kebangsaan, serta menjadi platform penting untuk memperkasakannya sebagai bahasa ilmu yang progresif di menara gading.
Penganjuran festival hasil kerjasama strategik antara UiTM sebagai tuan rumah, KPT, dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tersebut telah berjaya menghimpunkan penyertaan mahasiswa dan pensyarah dari IPT seluruh negara melalui pelbagai program kebahasaan dan pertandingan seperti Pidato Interaktif, Deklamasi dan Lakon (DEKON), serta Ekplorasi Jawi.
YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud turut memuji peranan IPT dalam membina teknologi linguistik seperti aplikasi terjemahan dan kecerdasan buatan, yang membuktikan bahawa bahasa Melayu berupaya untuk berintegrasi dengan teknologi moden.
Dalam majlis yang sama, beliau turut menyempurnakan pelancaran buku Inovasi Nukilan Kemanusiaan sebagai simbolik kepada perkembangan ilmu dalam bahasa kebangsaan.
Beliau berharap agar festival tersebut menjadi titik tolak kepada sebuah gerakan pengembangan bahasa yang lebih segar dan menyeluruh dalam ekosistem universiti.
Turut hadir Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASC; dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Abang Haliman Abang Julai.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 72