Karnival Kawan 2025 Bentuk Generasi Celik Kewangan Dan Cintakan Warisan

Pada sebelah petangnya, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah merasmikan Karnival Anak Warisan Simpan SSPN (KAWAN) 2025 anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Kompleks Karamunsing.
Karnival KAWAN 2025 merupakan acara berskala nasional yang dianjurkan secara serentak di seluruh negara dengan Negeri Sabah menjadi lokasi pelancaran utama program tersebut.
YB Timbalan Menteri berkata penganjuran KAWAN 2025 menyatukan pendekatan penabungan, pembudayaan ilmu dan pemeliharaan warisan budaya dalam usaha membentuk generasi MADANI yang berdaya tahan.
Beliau menegaskan bahawa inisiatif seperti KAWAN bukan sahaja memperkukuh kesedaran menabung sejak usia muda malah menjadi platform untuk memupuk nilai kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Dalam ucapannya, YB Datuk Ts. Mustapha turut merakamkan penghargaan kepada PTPTN kerana konsisten mempromosi Simpan SSPN sebagai tabung pendidikan pilihan rakyat Malaysia.
Sehingga 30 Jun 2025, Simpan SSPN telah merekodkan lebih 6.98 juta akaun dengan jumlah deposit keseluruhan mencecah RM21.93 bilion termasuk RM689.84 juta daripada lebih 500,000 akaun di Negeri Sabah.
Beliau turut berkongsi kisah Allahyarham Mohd Roslan Abd Rahim, anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan di Telok Intan pada Mei lalu, di mana keluarganya menerima manfaat perlindungan takaful berjumlah RM193,000 hasil simpanan melalui Simpan SSPN.
Karnival KAWAN 2025 dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan mewarna, kebudayaan, 'action song' serta penyampaian Sijil Penghargaan Modul Kelab Simpanan Pendidikan kepada empat (4) Pejabat Pendidikan Daerah di Negeri Sabah.
Beliau mengajak lebih banyak agensi kerajaan dan swasta untuk menjadikan Simpan SSPN sebagai insentif kepada pelajar, kakitangan serta komuniti setempat bagi meningkatkan kesedaran tabungan pendidikan.
Turut hadir, Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Hjh. Norliza Abdul Rahim; Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 758