IPT ‘Embrio’ Wujud Bakat Negara Yang Madani

IPT ‘Embrio’ Wujud Bakat Negara Yang Madani

"Saya percaya bahawa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) adalah ‘embrio’ kepada pewujudan kumpulan bakat negara yang seterusnya akan menyumbang kepada pertumbuhan negara bangsa yang Madani.

Oleh itu, mewujudkan ekosistem pendidikan tinggi yang ‘segar’ dan kondusif adalah sangat diperlukan, terutamanya dalam mendepani kepantasan perubahan yang berlaku di seluruh dunia dalam pelbagai aspek."

Jelas Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ketika menyampaikan ucapan Penggulungan Titah Diraja Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini hari ini.

Justeru, bagi merealisasikannya KPT akan menekankan kepada dua (2) perkara iaitu transformasi pendidikan; serta akademik dan ranking.

Mengenai transformasi pendidikan, beliau maklum akan peri pentingnya kerangka sedia ada perlu disegarkan seiring dengan perubahan landskap pendidikan dunia dan juga kehendak semasa.

Oleh itu, KPT akan merintis langkah mereformasikan pendidikan tinggi negara dengan melaksanakan pelbagai langkah termasuklah Penubuhan Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC); memperkenalkan Transformasi Politeknik 2023-2030; serta membangunkan Kertas Posisi,“New Horizon for Science, Technology and Innovation – A strategy to Enhance Higher Education in Malaysia”.

Di samping itu, terdapat beberapa dasar dan pelan yang akan dibangunkan dan diluncurkan, antaranya Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035; Dasar dan Pelan Tindakan Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi 2024-2030; serta Pelan Induk dan Pelan Tindakan Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2024-2030.

Menyentuh tema berkaitan akademik dan ranking pula, KPT juga telah membangunkan Kerangka Pembangunan Program Teknologi Tinggi Bernilai Tinggi (HT-HV) bertujuan untuk menghasilkan graduan yang mampu mendepani landskap pekerjaan yang sentiasa berubah dan penuh dengan persaingan di dalam era Revolusi Perindustrian 4.0.

Selain itu, KPT melalui Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga sedang membangunkan Fakulti AI pertama di Malaysia dengan pembangunan kurikulum tersebut telah dikenalpasti menepati keperluan industri, melibatkan pakar-pakar bidang AI serta seiring dengan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1409
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 03:07:22.

logo-sirim