IPT Diseru Perkasa Pembangunan Dan Kecemerlangan Sukan Negara
Peranan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam pembangunan dan kecemerlangan sukan negara tidak sepatutnya terhad kepada mengesan, melatih dan menghantar atlet menyertai pertandingan sahaja.
Sebaliknya, IPT boleh memanfaatkan pelbagai kepakaran dan kearifan ilmu yang dimiliki mereka dengan menjalankan penyelidikan, pemeteraian kerjasama serta pemindahan teknologi mencakupi semua aspek dan bidang yang mampu memperkasa sektor sukan negara agar sohor di mata dunia.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Anugerah Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2023 di sini malam tadi.
Menurut beliau, pembangunan industri sukan Malaysia tidak seharusnya berfokuskan kepada membina kekuatan dan ketahanan fizikal dan mental atlet semata-mata, ia turut berkait rapat dengan ilmu, penyelidikan, strategi dan teknologi.
"Penciptaan pakaian atau peralatan sukan yang berteknologi tinggi, penghasilan menu atau rejim pemakanan dengan nutrisi terbaik, strategi permainan, analisis prestasi menggunakan big data dan analitik," ujar beliau memberikan contoh sumbangan yang boleh dimulakan oleh IPT.
Pada majlis malam tadi juga, YB Menteri turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada Kontinjen IPT Malaysia yang akan memperagakan kehebatan di Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2023 yang akan diadakan di Chengdu, China bermula 26 Julai hingga 8 Ogos nanti.
Beliau berharap, para atlet IPT dapat mengambil aspirasi kecemerlangan Sukan SEA Kemboja lalu dalam mencipta kisah kejayaan masing-masing di Universiade kali ini sambil disuntik semangat 'Minda Juara' dan nilai patriotisme yang membara.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 2063