Integriti Dan Undang-Undang Jadi Asas Pengurusan IPT

“Integriti dan undang-undang tidak boleh dianggap sampingan, sebaliknya mesti menjadi asas dalam pengajaran, penyelidikan, pentadbiran dan pengurusan di universiti.”
Demikian tegas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud ketika merasmikan Konvensyen Integriti dan Undang-Undang Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2025 di sini pagi tadi.
Beliau berkata, pembangunan negara akan menjadi rapuh tanpa integriti, manakala ketiadaan undang-undang pula hanya membawa kepada keadaan tidak tersusun dan kucar-kacir.
Konvensyen yang julung-julung kali dianjurkan itu menjadi wadah memperkukuh budaya tatakelola beretika serta pematuhan peraturan dalam kalangan IPT.
Penganjuran digerakkan oleh Majlis Pegawai Integriti dan Undang-Undang Universiti Awam (MPIUA) bersama Majlis Penasihat Undang-Undang Universiti Awam (MPUU) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Integriti Malaysia (IIM) serta Jawatankuasa Naib Canselor/ Rektor Universiti Awam (JKNCRUA).
YB Datuk Ts. Mustapha menambah, kesedaran terhadap nilai integriti perlu dipupuk dalam semua aspek termasuk kewangan, penyelidikan dan hal ehwal pelajar supaya universiti kekal diyakini masyarakat.
Konvensyen ini turut memberi penekanan terhadap pencegahan salah laku seperti penyalahgunaan kuasa, penipuan akademik, plagiarisme, ketirisan kewangan dan pelanggaran etika profesional yang boleh menjejaskan kredibiliti IPT.
Beliau turut berharap resolusi yang dihasilkan daripada konvensyen ini dapat dijadikan pelan tindakan integriti untuk dipertimbangkan oleh KPT dalam usaha menambah baik tatakelola IPT.
Tambah beliau lagi, usaha ini juga selaras dengan aspirasi Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035 yang memberi fokus kepada pengukuhan tatakelola pendidikan tinggi negara.
Turut hadir, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia merangkap Timbalan Pengerusi JKNCRUA, Dato' Prof. Dr. Ir. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Pengarah SPRM Perak merangkap Pengerusi Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO), Dato’ TPr. Ahmad Sabri Mohamed; Ketua Unit Integriti KPT, PPj. Ahmad Humazie Ramly; serta barisan Naib Canselor universiti awam.
Konvensyen ini dijangka menjadi platform penting bagi memperkukuh kerjasama antara IPT dan agensi penguatkuasaan dalam membudayakan amalan tatakelola berintegriti serta memacu pembangunan pendidikan tinggi negara.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 510