Artikulasi JPPKK–MTUN Fasa B 2025 Perkukuh Laluan TVET Ke Ijazah Sarjana Muda

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Bahagian Dasar dan Penyelidikan (BDP) telah menganjurkan Bengkel Artikulasi JPPKK–MTUN Fasa B (Siri 1) pada 18 hingga 19 Ogos 2025 di Dewan Za'ba yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian siang tadi.
Bengkel tersebut telah menghimpunkan wakil Politeknik dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) melibatkan sepuluh bidang merangkumi 51 program Ijazah Sarjana Muda.
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah dilantik sebagai Ketua Sekretariat bagi pelaksanaan artikulasi fasa ini.
Dalam ucapannya, YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany menegaskan bahawa inisiatif ini membuka laluan lebih cerah kepada lepasan diploma TVET Politeknik untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di MTUN.
Mekanisme ini membolehkan pemindahan minimum 40 kredit bersamaan satu tahun pengajian, sekali gus mengurangkan tempoh dan kos pengajian dengan 0elaksanaan sepenuhnya dijangka bermula pada tahun 2026.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi MTUN TVET Termaju 2030, Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023–2035 juga Dasar TVET Negara 2030.
Turut hadir Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar dan Penyelidikan KPT, Dr. Zurina Abdul Hamid; Pengarah Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Zamzam Mohd Walid; Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Abdul Razak Mohamed; serta barisan pengurusan kanan UMPSA termasuk Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Che Ku Mohammad Faizal Che Ku Yahya dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Mohd Ruzaimi Mat Rejab.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 669