Ilmuwan Tiang Seri Negara, AI Jadi Agenda Masa Depan Pendidikan Tinggi
Sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2025 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Majlis penuh bermakna ini menghimpunkan warga akademik, pentadbir, penyelidik dan mahasiswa sebagai tanda penghargaan terhadap golongan ilmuwan yang terus menyumbang kepada pembangunan negara.
Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan Hari Akademia adalah simbol penghargaan negara kepada ahli akademik yang diibaratkan seperti lilin, rela membakar diri demi menerangi orang lain. Justeru, peranan mereka mesti terus dihargai dalam membentuk generasi seimbang dari segi ilmu, sahsiah dan nilai.
Tema tahun ini, Integrasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pendidikan Tinggi, dipilih bagi menekankan cabaran baharu dunia pendidikan. AI kini bukan sekadar alat, tetapi membentuk paradigma baharu yang menuntut universiti segera beradaptasi.
YB Menteri turut mengimbau sejarah kegemilangan tamadun ilmu Islam, khususnya Baghdad dan Baitul Hikmah, yang menjadi bukti bahawa ilmu adalah tiang seri peradaban. Justeru, semua universiti diseru agar kekal sebagai pusat percambahan ilmu untuk mengangkat negara dalam era pasca industri dan digital.
Beliau turut berbangga dengan pencapaian universiti tempatan yang kini berada dalam kelompok 100 hingga 500 terbaik dunia, di samping lima daripada sepuluh universiti terbaik rantau ini adalah dari Malaysia.
Sehubungan itu, warga akademia diingatkan agar mengamalkan budaya ilmu dengan rendah hati serta menolak sifat 'intellectual arrogance'. Dunia akademik menuntut keterbukaan, kerjasama dan semangat berpasukan demi memperkukuh reputasi pendidikan tinggi negara.
Kerajaan juga memberi mandat kepada dua tokoh ilmuwan negara, Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Profesor Emeritus Dato’ Dr. Osman Bakar, untuk menggubal semula kurikulum mata pelajaran umum agar lebih selaras dengan aspirasi Malaysia, keperluan semasa dan identiti kebangsaan.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani; Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani serta pimpinan universiti seluruh negara.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 739