Garis Panduan Pelaburan 2024 Perkasa Tatakelola Universiti Awam Jana Pendapatan Sendiri
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah meluncurkan Buku Garis Panduan Pelaburan dan Pembiayaan oleh Universiti Awam (UA) Tahun 2024 sempena program Suai Tugas Strategik Lembaga/Pengarah Dan Anak Syarikat UA (SOFBoD) 2024 di ibu negara petang tadi.
Garis panduan yang dikemaskini berdasarkan edisi 2004 tersebut dibangunkan hasil kajian KPT bersama Universiti Kebangsaan Malaysia dan akan dijadikan dokumen rujukan UA dalam perihal pelaburan dan pembiayaan yang selaras dengan peraturan semasa dan terkini Kerajaan Malaysia.
Berdasarkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, UA dibenarkan menjana pendapatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada dana Kerajaan melalui perniagaan serta pelaburan dalam ekuiti, pasaran tetap dan harta tanah.
Terdahulu, YB Menteri turut mengemudikan sesi forum bertajuk "Pemerkasaan Peranan, Fungsi dan Tanggungjawab Lembaga Pengarah Universiti Awam (LPUA) Dalam Menghadapi Cabaran 3C (Chaos, Complexity and Contradiction)".
Peranan LPUA yang menggandingkan kepakaran dan pengalaman ahli akademik, pakar industri serta tokoh korporat penting membentuk sinergi dalam membentuk hala tuju, tatakelola, keberkesanan pengurusan, serta integriti sesebuah UA.
SOFBOD turut dijadikan wahana libat urus antara YB Menteri Pendidikan Tinggi dengan LPUA membincangkan isu dan solusi semasa.
Program yang mengumpulkan 300 orang ahli LPUA serta wakil anak syarikat daripada 27 anak syarikat atau syarikat pegangan (holdings) UA merupakan kolaborasi antara Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Jabatan Pendidikan Tinggi, dan Universiti Teknologi MARA.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; serta barisan pengurusan tertinggi Kementerian dan UA.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 2373