Aspek Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim Diambil Kira Dalam Membangun PPPTM 2026-2035

Aspek alam sekitar, perubahan iklim dan pembangunan mampan diambil kira dalam usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membangun Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM 2026-2035).
Satu lonjakan baharu iaitu 'Planetary Health and Sustainability' turut diperkenalkan dalam PPPTM 2026-2035 ini dengan sesi libat urus bersama pihak bekepentingan dan pakar dijalankan KPT.
Petang tadi berlangsung satu sesi perbincangan antara Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Bahagian Dasar & Penyelidikan KPT bersama Profesor di John Hopkins University, Prof. Sam Myers.
Beliau yang juga pengasas John Hopkins Institute for Planetary Health dan Planetary Health Alliance (PHA) merupakan pakar dalam memahami serta mengukur kesan perubahan alam sekitar global terhadap kesihatan manusia serta memimpin usaha-usaha untuk menterjemahkan pemahaman tersebut kepada tindakan di peringkat global.
Dalam konteks PPPTM 2026-2035, elemen-elemen ini adalah penting kerana perubahan iklim memberi kesan kepada operasi akademik dan kesejahteraan pelajar serta kakitangan.
Ia juga penting sebagai usaha untuk menyesuaikan kurikulum bagi melengkapkan pelajar dengan pengetahuan yang relevan untuk menghadapi cabaran kemampanan yang akan datang.
Dalam sesi perbincangan ini, Prof Sam Myers turut berkongsi pandangan beliau berkenaan usaha PHA dalam mengintegrasikan konsep kesihatan planet ke dalam kurikulum pendidikan di peringkat global.
KPT percaya usaha untuk memperkenalkan dan membudayakan elemen ini dalam pelan tindakan pendidikan tinggi yang sedang dibangunkan akan membuahkan hasil dengan input yang diterima daripada pakar bidang.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 409