Alumni Diseru Tampil Aktif Perkasa Sektor Pendidikan Tinggi Negara, Alma Mater
"Kita lihat alumni-alumni dari UA (Universiti Awam) itu adalah terdiri daripada mereka yang pernah menjadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri, tokoh dalam perniagaan, Captain of Industries, Ketua Setiausaha Negara dan sebagainya yang menjadi aset besar kepada negara", ujar Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Justeru, beliau dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengharapkan keterlibatan yang lebih aktif dan kerjasama yang utuh daripada para alumni dalam kesediaan mereka menyumbang kembali kepada alma mater masing-masing bagi memperkasakan sektor pendidikan tinggi negara.
Beliau berkata demikian kepada para media selepas hadir menyempurnakan Majlis Malam Alumni Universiti Awam 2024 di ibu negara malam semalam.
Menurutnya, peranan dan pandangan para alumni ini akan turut dilibatkan dalam membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 (PPPTM 2026-2035) yang sedang menjadi fokus KPT ketika ini.
Malah, beliau turut menyeru para alumni, terutamanya yang telah berjaya dalam sektor kewangan serta tokoh-tokoh industri untuk turut membantu alma mater mereka secara proaktif dari aspek kemampanan sumber kewangan.
Mengenai majlis itu, KPT melalui Alumni Universiti Awam Malaysia (MALUMNI) dengan kerjasama 20 buah Pusat dan Jabatan Perhubungan Alumni Universiti Awam (UA) telah menganjurkan majlis yang julung-julung kali diadakan tersebut.
Selain itu, majlis yang akan diadakan setiap dua (2) tahun sekali itu turut menyaksikan YB Menteri Pendidikan Tinggi telah menyampaikan anugerah kepada para alumni universiti yang berjaya dalam bidang kepimpinan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta mereka yang aktif dalam memberi sumbangan kepada universiti masing-masing.
Sebanyak tiga (3) kategori anugerah telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi iaitu Anugerah Ikon Alumni, Anugerah Alumni Kedermawanan dan Anugerah Alumni Muda Harapan.
Penganugerahan Ikon Alumni telah diberikan kepada Pengasas Pantau Iraga Art Space iaitu Encik Awang Damit Ahmad (Alumni Universiti Teknologi MARA – UiTM).
Anugerah Alumni Kedermawanan pula telah dianugerahkan kepada dua orang penerima iaitu Pengasas dan Pengerusi Eksekutif, Top Glove Corporation Bhd Tan Sri Lim Wee Chai (Alumni Universiti Malaya - UM); serta Ketua Eksekutif, Bidara Kekal Sdn. Bhd./ Naib Presiden Forest City Berhad Dato’ Dr. Daing A. Malek Daing A. Rahman (Alumni Universiti Teknologi Malaysia - UTM).
Majlis makan malam tadi telah turut mendapat tajaan Syarikat Top Glove Corporation Berhad dan Syarikat VFive Group masing-masing sebanyak RM100,000.
Pada masa yang sama, seramai 20 orang alumni yang terdiri dari setiap UA telah turut menerima Anugerah Alumni Muda Harapan daripada YB Menteri.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 798