AKRI 2024 Dan Transformasi Pendidikan Tinggi: YB Menteri Seru Pengukuhan Sambutan Hari Akademia

Majlis Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi: Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) dan Perasmian Sambutan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2024 telah disempurnakan oleh YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam pagi tadi.
Penganjuran AKRI 2024 menyokong inisiatif dan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam pendidikan fleksibel dan kurikulum tersedia masa hadapan.
Ini selaras dengan objektifnya untuk mengenal pasti serta memberi pengiktirafan sambil berkongsi amalan terbaik projek-projek serta inisiatif yang telah dilaksanakan.
Sebanyak 27 finalis daripada 108 penyertaan telah disenarai pendek, dan para pemenang diumumkan dalam pelbagai kategori seperti Kurikulum Program Pengajian Inovatif; Pengajaran Transformatif; Pengalaman Pembelajaran Imersif; serta Pentaksiran Alternatif.
Pada majlis yang sama, YB Menteri telah melancarkan sambutan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2024 yang tahun ini mengangkat tema "Transformasi Akademia dengan AI: Masyarakat Madani Berinovasi”.
Sambutan Bulan Akademia merupakan manifestasi penghargaan kerajaan terhadap sumbangan ahli akademik di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang sentiasa gigih dan komited dalam membangunkan modal insan tempatan ke arah pembangunan lestari negara.
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry dalam ucapannya menekankan kepentingan transformasi pendidikan, terutamanya dalam era kecerdasan buatan (AI) yang semakin mempengaruhi pedagogi dan pembelajaran.
Beliau turut mencadangkan agar sambutan Hari Akademia, yang disambut pada 5 Oktober setiap tahun, diperkasakan setaraf dengan Hari Guru, bagi menghargai sumbangan besar lebih 100,000 ahli akademik di seluruh negara.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md Amir; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang turut menjalankan fungsi Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Dr. Shahrin Sahib.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 2018