Kunjung Hormat Menteri Besar Pahang Bersama Delegasi Kerajaan Negeri

Hari ini YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi telah menerima kunjung hormat YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang bersama delegasi kerajaan negeri.

Tujuan kunjungan hormat tersebut adalah bagi membincangkan usaha memperkasakan lagi sektor pendidikan tinggi khususnya di negeri Pahang antaranya mengenai status Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) yang merupakan IPTS milik Kerajaan Negeri Pahang.

Selain itu, mereka turut mengadakan perbincangan susulan mengenai program PENJANA-KPT CAP@State di Negeri Pahang. Susulan daripada pertemuan pada 25 Februari lalu di Pejabat Menteri Besar Pahang, Kuantan, kerajaan negeri telah bersetuju menyediakan dana sebanyak RM1.8 juta bagi menyahut cadangan KPT untuk melaksanakan inisiatif PENJANA-KPT CAP@State.

Dana tersebut bertujuan untuk melaksanakan program Place and Train berjumlah RM1.2 juta bagi 300 graduan dari kalangan anak negeri Pahang dan bakinya sebanyak RM600 ribu untuk memberi geran pembiayaan kepada aktiviti keusahawanan melibatkan 200 graduan.

Hadir sama dalam perbincangan ini, YB Tuan Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi, Dato' Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran, Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 7859
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 18 April 2024, 14:41:25.