20,000 Pelajar IPTA Sabah Nikmati Menu Siswa Rahmah

20,000 Pelajar IPTA Sabah Nikmati Menu Siswa Rahmah

YB Dato’ Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi hari ini telah mengadakan tinjauan pelaksanaan Menu Siswa Rahmah (MSR) di UiTM Kampus Kota Kinabalu.

Kira-kira 20,000 pelajar dari golongan B40 di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) seluruh Sabah menerima manfaat daripada pengenalan MSR dengan hidangan pada harga berpatutan RM3.50.

Mereka terdiri daripada 3,779 pelajar di UiTM Kampus Kota Kinabalu dan 161 daripada UiTM Tawau, 11,968 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan 3,713 orang pelajar di Politeknik Kota Kinabalu dan Politeknik Sandakan.

Dalam lawatan tersebut, YB Timbalan Menteri turut melawat Dapur HEP yang menyediakan hidangan nasi percuma sebanyak dua kali sehari kepada pelajar bagi membolehkan mereka berjimat dengan hanya membeli lauk sahaja di kafeteria.

Selain daripada penjimatan kos sara hidup, pelaksanaan Dapur HEP ini telah membuka peluang kesukarelawanan dan menggalakkan amalan saling bantu-membantu di kalangan para pelajar berdasarkan konsep ‘Dari Pelajar untuk Pelajar’.

Pada majlis itu, YB Timbalan Menteri turut menyampaikan sumbangan 1,000 kg beras daripada KPT yang boleh menyediakan lebih 6,600 hidangan nasi sebagai tanda sokongan terhadap pengoperasian inisiatif Dapur HEP.

Turut hadir YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha KPT dan YBhg. Prof Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Ros, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2721
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 Julai 2024, 10:52:23.