Soalan Lazim (FAQ) Berkaitan Pengendalian Pengurusan Operasi Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Semasa Dan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Kementerian Pengajian Tinggi

1. Adakah pengurusan pentadbiran IPT sudah dibenarkan beroperasi?

Pengurusan pentadbiran IPT sudah dibenarkan beroperasi dan perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

2. Adakah semua pelajar pasca siswazah boleh melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus?

TIDAK. Hanya pelajar pasca siswazah mod penyelidikan yang memerlukan peralatan khas dan makmal/ bengkel/ studio sahaja dibenarkan.

3. Adakah semua pelajar dibenarkan kembali ke kampus untuk PdP?

 TIDAK DIBENARKAN. Hanya lima (5) kategori pelajar yang telah diluluskan oleh kerajaan sahaja yang dibenarkan kembali ke kampus untuk PdP. 

4. Adakah kemasukan pelajar baharu bagi sesi 2020/21 akan diteruskan? Jika YA, apakah urusan untuk pendaftaran baharu yang perlu dilakukan oleh pelajar?

YA DITERUSKAN. Semua urusan pendaftaran dan program orientasi pelajar tempatan baharu akan dibuat secara dalam talian di kampus IPT tertakluk kepada penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Pelajar hendaklah membawa bersama surat tawaran kemasukan ke IPT serta mematuhi SOP yang diberikan.

5. Bagaimana dengan pengendalian PdP bagi pelajar baharu Sesi 2020/2021?

Pengendalian aktiviti akademik Sesi 2020/2021 di kampus IPT bagi pelajar baharu peringkat Sijil, Asasi, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda adalah dibenarkan bagi memberi pendedahan kepada mereka dengan ekosistem IPT. Pelajar akan mengikuti PdP secara dalam talian di kampus kecuali untuk aktiviti makmal.

6. Adakah aktiviti PdP secara dalam talian masih diteruskan bagi pelajar yang berada di kediaman masing-masing? Jika ya, adakah pelajar perlu kembali ke kampus selepas 1 Oktober 20209

Aktiviti PdP secara dalam talian masih diteruskan sehingga 31 Disember 2020. Oleh itu, pelajar tidak dibenarkan kembali ke kampus selepas 1 Oktober 2020. Sebarang perubahan tarikh atau aktiviti PdP adalah tertakluk kepada keputusan Kerajaan dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

7. Adakah pelajar antarabangsa yang telah berada di dalam negara dan ingin melanjutkan pengajian di IPT boleh mendaftar sebagai pelajar baharu bagi Sesi Akademik 2020/2021?

YA. Pendaftaran pelajar antarabangsa boleh dibuat menggunakan kaedah yang sama seperti pelajar tempatan.

8. Adakah pelajar yang berada di kediaman masing-masing dan mempunyai masalah untuk mengakses PdP dalam talian dibenarkan untuk kembali ke kampus?

YA, DIBENARKAN. Bagaimanapun, hanya pelajar yang telah dikenal pasti oleh IPT sahaja yang dibenarkan kembali ke kampus seawal 1 Julai 2020. Pelajar juga hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan oleh IPT dan  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang keberadaan mereka di kampus.

9. Adakah pelajar yang terlibat dengan pembelajaran bersemuka seperti kerja-kerja klinikal, latih amal, makmal, bengkel, studio reka bentuk, praktikal atau yang memerlukan peralatan khusus dibenarkan kembali ke IPT?

YA DIBENARKAN bagi pelajar Semester/ Tahun akhir sahaja. Pelajar yang dibenarkan kembali ke kampus hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan oleh IPT dan KKM.

10. Bagaimana pula dengan proses PdP bagi Pelajar Berkeperluan Khas (OKU)?

PdP secara bersemuka di kampus dibenarkan bagi pelajar OKU yang mengikuti program TVET atau yang mempunyai masalah pembelajaran seawal 1 Ogos 2020.

11Apakah prosedur yang perlu diambil kira oleh pelajar untuk hadir secara fizikal ke makmal, bengkel, studio reka bentuk di IPT?

Pelajar perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh IPT dan KKM.

12. Adakah aktiviti penyelidikan dan PdP di dalam makmal boleh dilaksanakan?

Aktiviti penyelidikan dan PdP yang memerlukan kemudahan makmal dan peralatan khas adalah dibenarkan. Penggunaan makmal hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan oleh IPT dan KKM.

13. Bagi pelajar yang dibenarkan pulang ke kampus, adakah pengangkutan akan diuruskan oleh IPT atau dihantar sendiri oleh ibu bapa pelajar?

Perjalanan pelajar pulang ke kampus adalah di bawah tanggungan sendiri.

14. Adakah kemudahan pelajar di kampus seperti kafeteria, koperasi pelajar dan lain-lain akan dibuka seperti biasa?

Kemudahan kafeteria, kantin dan kiosk jualan adalah beroperasi mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh IPT dan KKM.

15. Adakah yuran IPT akan dikurangkan bagi tahun ini memandangkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dalam talian?

KPT sedang meneliti dan mengkaji semula kadar yuran di Universiti Awam (UA) dan berbincang mengenai kadar yuran institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) dengan pihak berkenaan.

16. Bagaimana pula dengan pengendalian latihan industri?

Latihan industri boleh diteruskan tertakluk kepada penerimaan permohonan pelajar oleh pihak industri. Majikan atau organisasi sama ada agensi awam atau swasta hendaklah mematuhi SOP yang digariskan oleh pihak Kerajaan sepanjang tempoh penempatan yang ditetapkan.

 

 

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

8 Jun 2020

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 18775
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim