SIARAN MEDIA
TOKYO CONFERENCE 2026: MALAYSIA TEKANKAN AUTONOMI STRATEGIK
DAN PEMBAHARUAN MULTILATERALISME
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir mengadakan lawatan kerja rasmi ke Tokyo, Jepun mulai 10 hingga 11 Mac 2026 dan beliau juga dijemput menghadiri persidangan Tokyo Conference 2026. Persidangan itu menghimpunkan pemimpin, pemikir, serta tokoh dasar dari pelbagai negara, khususnya dari rantau Asia bagi membincangkan cabaran masa depan dan kerjasama antarabangsa dalam dunia yang semakin mencabar.
Beliau telah menyertai sesi meja bulat pemimpin Asia yang membincangkan topik “Asian Leaders Roundtable: Asia’s Option in an ‘Age of Power - How to defend and rebuild the rules -based multilateral order”.
Menerusi ucapannya, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa Asia perlu memainkan peranan lebih aktif dalam mempertahankan serta memperbaharui sistem kerjasama pelbagai hala (multilateralisme) yang semakin teruji dalam landskap geopolitik global.
Dalam ucapannya, beliau juga menyatakan bahawa dunia kini berada dalam era yang sering digambarkan sebagai “Age of Power”, di mana persaingan geopolitik, tekanan ekonomi serta penggunaan teknologi sebagai alat pengaruh semakin ketara.
Menurut beliau, Asia melihat keadaan ini sebagai satu defisit kepercayaan terhadap sistem antarabangsa, khususnya apabila undang-undang dan peraturan global dilihat tidak diterapkan secara konsisten.
Sehubungan itu, Malaysia menegaskan kepentingan autonomi strategik melalui pendekatan non-alignment aktif, di samping mempertahankan prinsip kedaulatan negara, undang-undang antarabangsa serta multilateralisme yang adil dan inklusif.
Beliau turut menegaskan bahawa Asia mempunyai kekuatan ekonomi, demografi dan pengaruh diplomatik yang besar untuk membantu membentuk sistem antarabangsa yang lebih seimbang.
“Multilateralisme masa hadapan mesti lebih inklusif serta mencerminkan suara dan aspirasi majoriti negara di dunia,” katanya.
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa kerjasama strategik antara negara-negara Asia perlu terus diperkukuh, dengan sektor pendidikan tinggi memainkan peranan penting sebagai pemangkin hubungan antarabangsa melalui pertukaran ilmu, mobiliti pelajar dan penyelidikan bersama.
Menurut beliau, institusi pendidikan tinggi berpotensi menjadi jambatan yang menghubungkan negara-negara serantau dalam membangunkan bakat, memperkukuh diplomasi ilmu serta menyokong pembentukan sistem global yang lebih seimbang, inklusif dan berteraskan kerjasama.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
11 MAC 2026
Muat Turun:
- Last updated on .
- Hits: 269
