logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PEMERGIAN PROFESOR DIRAJA TERPUJI TAN SRI DR. SYED MUHAMMAD
NAQUIB AL-ATTAS KEHILANGAN BESAR DUNIA KEILMUAN


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga atas pemergian Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang telah kembali ke rahmatullah pada 8 Mac 2026. Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada dunia akademik dan peradaban ilmu, khususnya dalam bidang pemikiran dan tamadun Islam.

Allahyarham dikenali sebagai seorang sarjana ulung yang telah memberikan sumbangan yang amat besar dalam pembangunan tradisi keilmuan Islam serta pembinaan kerangka intelektual yang berteraskan nilai dan pandangan alam Islam.

Dilahirkan pada tahun 1931, Allahyarham merupakan tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari yang amat disegani di dalam dan luar negara. Antara sumbangan terbesar Allahyarham adalah memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang telah memberi pengaruh besar dalam wacana pemikiran Islam moden serta dalam pembinaan sistem pendidikan yang berteraskan nilai-nilai Islam. Gagasan tersebut merangkumi pelbagai cabang keilmuan termasuk falsafah, teologi, sejarah, metafizik, bahasa, sastera dan seni.

Allahyarham turut terlibat dalam penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta mengasaskan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) pada tahun 1987 yang menjadi pusat rujukan penting dalam pengajian tamadun dan pemikiran Islam serta telah melahirkan ramai sarjana dan ilmuwan dari pelbagai negara. Selain itu, Allahyarham juga merupakan antara tokoh penting dalam penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan telah menyumbang dalam merencana dasar, falsafah serta identiti universiti tersebut.

Sebagai pengiktirafan Kerajaan MADANI terhadap sumbangan besar beliau kepada dunia akademik dan ketamadunan, Allahyarham telah dikurniakan gelaran Profesor Diraja oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 23 Oktober 2024. Pelantikan ini menjadikan Allahyarham sebagai Profesor Diraja kedua negara selepas Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang menerima pengurniaan tersebut pada tahun 1978.

KPT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa, pemikiran dan legasi intelektual yang ditinggalkan oleh Allahyarham. Sumbangan beliau akan terus menjadi sumber inspirasi kepada generasi sarjana, ilmuwan dan mahasiswa dalam memartabatkan budaya ilmu serta memperkukuh pembangunan intelektual negara.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
9 MAC 2026

Muat Turun:

  pdf Kenyataan Media - Pemergian Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas Kehilangan Besar Dunia Keilmuan(138 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 79
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 09 Mac 2026, 04:59:26.

logo-sirim