logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

INISIATIF BAUCAR BUKU MADANI RM100 UNTUK PELAJAR IPT


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas persetujuan Kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan inisiatif Baucar Buku MADANI bernilai RM100 kepada para pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) warganegara Malaysia.

Inisiatif ini akan dilaksanakan bermula 28 Ogos hingga 12 Disember 2025 dan dijangka memanfaatkan seramai 500,000 orang pelajar IPT di bawah KPT, merangkumi Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).

Pelaksanaan inisiatif ini akan dibuat menerusi portal https://mysiswaplace.my/ (MySiswaPlace) sebagai platform sehenti bagi semakan kelayakan, penjanaan serta penebusan baucar, dan pembelian bahan bacaan secara atas talian sepenuhnya.

Portal ini menawarkan lebih 1 juta judul bahan bacaan, termasuk buku fizikal dan e-book yang disediakan oleh lebih 250 rakan niaga. Baucar boleh digunakan oleh semua pelajar yang layak untuk pembelian buku akademik, bahan rujukan, bacaan ilmiah serta pelbagai lagi.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk menyokong keperluan pembelajaran pelajar, meringankan beban kewangan pelajar dan bermatlamat bagi membudayakan amalan membaca di kalangan generasi muda, terutama golongan mahasiswa serta merancakkan pertumbuhan ekonomi industri buku.

KPT berharap agar semua pelajar berkelayakan dapat memanfaatkan baucar buku ini untuk menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan keupayaan diri, selaras dengan fokus utama Kementerian melahirkan bakat terbaik negara.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
27 OGOS 2025

Muat Turun:

  pdf Siaran Media - Inisiatif Baucar Buku Madani RM100 Untuk Pelajar IPT(138 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 15659
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 September 2025, 04:30:59.

logo-sirim