SIARAN MEDIA
FESTIVAL IDEA PUTRAJAYA LABUHKAN TIRAI, PERKUKUH USAHA
MERAKYATKAN IDEA DAN PENDIDIKAN TINGGI NEGARA
Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melabuhkan tirainya secara rasmi semalam setelah berlangsung selama tiga (3) hari bermula 27 hingga 29 November 2024 dengan Majlis Penutupan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.
Penganjuran Putrajaya FOI yang julung kali diadakan pada tahun 2024 ini disambut meriah dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung sepanjang penganjurannya. KPT komited untuk menjayakannya secara tahunan mulai tahun hadapan bagi menyahut seruan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang melihat ia mampu menyemarakkan pemikiran baharu, daya cipta dan kreativiti dalam kalangan masyarakat.
Melalui segmen Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) yang dijalankan, sebanyak 81 tetamu kehormat, pengerusi forum, panel dan moderator berjaya dihimpunkan dalam pentas forum dan sidang selari termasuk Titah Diraja dan bual bicara, Putrajaya FOI Talk bersama Perdana Menteri, lima sesi (5) forum, dan 10 Sidang Selari.
Dalam pada itu, ia turut menarik penyertaan lebih daripada 10,000 penyertaan antarabangsa daripada 105 buah negara. Ia juga menyaksikan 97 sesi pertukaran atau penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU); Memorandum Perjanjian (MoA); Surat Setuju Terima (LoA); pelancaran produk, buku dan mamogram bernilai lebih RM100 juta.
Selain itu, sejumlah 700 tawaran pekerjaan ditawarkan secara terus kepada graduan dan orang ramai melalui Karnival Kerjaya MADANI dan lebih 5,000 aplikasi akan melalui proses temuduga seterusnya. Turut dianjurkan pertandingan idea, ideaVault yang masih berlangsung sehingga 30 April 2025 menyasarkan untuk mengumpulkan 100,000 idea inovatif dan idea kreatif untuk dilaksanakan.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh pemegang taruh Kementerian serta rakan strategik yang memberikan sokongan kepada penganjuran Putrajaya FOI.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
30 November 2024
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1174