KENYATAAN MEDIA
TINJAUAN PELAKSANAAN INISIATIF
MENU SISWA RAHMAH
- Saya telah membuat tinjauan pelaksanaan inisiatif Menu Siswa Rahmah di Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.
- Menu Siswa Rahmah adalah salah satu daripada inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam membantu meringankan beban kos sara hidup mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
- Ia bertujuan memastikan kelangsungan kebajikan mahasiswa IPT daripada golongan B40 terus dijaga dan proses pembelajaran dan pengajaran tidak terjejas.
- KPT dengan kerjasama pihak pengurusan universiti awam dan pengusaha kafeteria/ kiosk/ gerai/ penyedia perkhidmatan makanan memperkenalkan hidangan makanan (minum pagi/ makan tengahari/ makan malam) dengan harga berpatutan iaitu RM3.50 per hidangan.
- Penyediaan Menu Siswa Rahmah ini turut mengambil kira keperluan nutrisi asas (karbohidrat, protein, serat) dan komposisi kepelbagaian kaum mahasiswa di universiti awam.
- Dijangkakan sekitar 386,067 mahasiswa (70.2% enrolmen mahasiswa di Universiti Awam) yang terdiri daripada golongan B40 akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini.
- Inisiatif Menu Siswa Rahmah ini melibatkan pemberian moratorium/ pengecualian bayaran sewa premis/ bayaran utiliti oleh pihak universiti kepada 235 pengusaha kafeteria/ kiosk/ gerai/ penyedia perkhidmatan makanan sedia ada dan baharu di seluruh kampus yang bernilai RM3,034,318.45.
- Inisiatif ini juga disambut baik oleh 24 buah politeknik dan 8 buah kolej komuniti di seluruh Malaysia yang melibatkan sekitar 98 pengusaha kafeteria/ kiosk/ gerai/ penyedia perkhidmatan makanan di politeknik dan kolej komuniti secara keseluruhannya.
- Dianggarkan seramai lebih 7 ribu pelajar politeknik dan hampir 5 ribu pelajar kolej komuniti mendapat manfaat daripada inisiatif ini.
- Mewakili KPT, saya menyeru agar lebih ramai pengusaha kafeteria/ kiosk/ gerai/ penyedia perkhidmatan makanan untuk bersama-sama menyokong pelaksanaan inisiatif Menu Siswa Rahmah ini agar dapat meringkankan tanggungan perbelanjaan makanan harian mahasiswa khususnya dalam kalangan golongan B40.
DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
16 MAC 2023
Muat Turun:
pdf Kenyataan Media Tinjauan Pelaksanaan Menu Siswa Rahmah.pdf (102 KB)
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 6644