KENYATAAN MEDIA
KEMASUKAN PELAJAR LEPASAN INSTITUSI JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT (JKM) MELALUI UPUONLINE®
- Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bil 1/2023 yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Parlimen pada 16 Mac 2023 telah bersetuju untuk meneruskan Laluan Khas Kemasukan Pelajar melalui UPUOnline® ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
- Laluan Khas Kemasukan Pelajar ini melibatkan empat (4) kumpulan sasaran iaitu golongan berpendapatan 40% terendah (B40), Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli dan Atlet.
- Sejajar dengan hasrat perluasan akses pendidikan tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedia menimbang cadangan Laluan Khas Kemasukan Pelajar sedia ada kepada calon Lepasan Institusi Kebajikan Sekolah Tunas Bakti, Asrama Akhlak dan Taman Seri Puteri Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM).
- Laluan ini merupakan kemasukan melalui kaedah khas dan para calon tidak perlu bersaing dengan kumpulan arus perdana untuk melanjutkan pengajian masing-masing.
- Walau bagaimanapun, para calon masih perlu memenuhi Syarat Am dan Syarat Khas program pengajian yang dipilih dan akan disaring dalam kumpulan mereka sendiri.
- Semoga inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada kumpulan sasaran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya melengkapkan diri bagi membolehkan mereka hidup berdikari dan menyumbang bakti secara berkesan ke arah pembangunan Malaysia MADANI.
DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
16 MAC 2023
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 8738