KENYATAAN MEDIA
SERAMAI 82,092 CALON MENDAPAT TAWARAN PENGAJIAN
IJAZAH SARJANA MUDA DI 20 UNIVERSITI AWAM
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengucapkan penghargaan kepada calon lepasan Matrikulasi, STPM, Asasi, STAM, Diploma/ Setaraf yang telah mengemukakan permohonan melanjutkan pengajian ke 20 Universiti Awam (UA) menerusi UPUOnline®.
Pada tahun ini, KPT telah menerima 107,875 permohonan yang layak bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda menerusi UPUOnline®. Seramai 82,092 calon (76.10%) telah ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian.
Secara keseluruhannya, sebanyak 1,146 program pengajian Ijazah Sarjana Muda telah ditawarkan bagi sesi kali ini. Kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.
Kepada calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian, Kementerian kini telah membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline® dalam tempoh 10 hari, bermula daripada 14 Ogos 2026, jam 12.00 tengah hari sehingga 23 Ogos 2026, jam 5.00 petang.
Pihak Kementerian mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang berjaya dan semoga peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
14 OGOS 2026
Muat Turun:
- Last updated on .
- Hits: 1646
