Kenyataan Media - Malaysia–Rusia Perkukuh Kerjasama Strategik, JC-ESTC Ke-5 Catat Kemajuan Konkrit

logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

MALAYSIA–RUSIA PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK, JC-ESTC KE-5
CATAT KEMAJUAN KONKRIT


1. Saya telah mempengerusikan bersama Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia–Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya (JC-ESTC) Ke-5 dengan TYT Valery Falkov, Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, di Vladivostok hari ini.

2. Mesyuarat ini amat signifikan menjelang ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia–Rusia pada tahun 2027. Kedua-dua negara bersetuju untuk memuktamadkan Pelan Tindakan Bersama 2027 sebelum penghujung tahun 2026 bagi memastikan kerjasama yang lebih tersusun dan berorientasikan hasil.

3. Berlandaskan momentum hubungan di peringkat tertinggi yang melibatkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Presiden Persekutuan Rusia, TYT Vladimir Putin dan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, JC-ESTC kali ini memberi tumpuan kepada usaha menterjemahkan hubungan baik kedua-dua negara kepada kerjasama yang lebih konkrit.

4. Dalam bidang perdagangan, pertanian dan pelaburan, kedua-dua pihak membincangkan usaha memperluas akses pasaran, memperkukuh kerjasama perdagangan serta meneroka kerjasama bekalan baja termasuk urea bagi menyokong keterjaminan makanan Malaysia.

5. Dalam pendidikan tinggi, sains dan pembangunan modal insan, Rusia akan meneruskan tawaran
40 biasiswa Kerajaan Rusia setiap tahun kepada pelajar Malaysia. Kedua-dua pihak turut mengalu-alukan cadangan Forum Rektor Malaysia–Rusia pertama pada 2027; pengembangan MAI–UniKL Russian Aerospace Programme; Russia–Malaysia Raw Materials Dialogue; serta inisiatif pembangunan belia melalui Malaysia–Russia Youth Leadership Summer Camp. Inisiatif-inisiatif ini akan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar, ahli akademik dan penyelidik kedua-dua negara untuk membina jaringan kerjasama.

6. Kerjasama dalam sektor strategik turut diperkukuh meliputi kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, bandar pintar, keselamatan maklumat, telekomunikasi, tenaga boleh baharu, LNG dan LPG, serta penerokaan kerjasama dalam penggunaan tenaga nuklear secara aman tertakluk kepada undang-undang dan keperluan kawal selia kedua-dua negara.

7. Kedua-dua pihak turut mencatat kemajuan dalam memperkukuh kewangan Malaysia–Rusia susulan penglibatan Bank Negara Malaysia, Bank of Russia, termasuk meneroka peranan Labuan sebagai pusat kewangan antarabangsa dan pintu masuk ke ASEAN, selain potensi kerjasama dalam kewangan Islam dan aset digital. Kerjasama turut diperluas dalam sektor industri, kesihatan, pengangkutan, teknologi hijau, perubahan iklim, ekonomi kreatif dan angkasa.

8. Saya bersama TYT Valery Falkov turut menyaksikan pertukaran tiga perjanjian kerjasama antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia dan Rusia, melibatkan UiTM dengan National Research University “Moscow Power Engineering Institute”; UiTM dengan Institute of Experimental Medicine; serta UTHM dengan State University of Land Use Planning.

9. Kedua-dua negara berharap setiap kesepakatan melalui JC-ESTC ini dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan bermanfaat yang dapat dirasai oleh rakyat kedua-dua negara. Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan Persekutuan Rusia berasaskan prinsip saling menghormati dan manfaat bersama.

10. Insya-Allah, momentum ini akan diteruskan apabila Malaysia menjadi tuan rumah JC-ESTC Ke-6 pada tahun 2027, bersempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia–Rusia.

DR. ZAMBRY ABD KADIR
Menteri Pendidikan Tinggi
13 Ogos 2026

Muat Turun:

  pdf Kenyataan Media - Malaysia–Rusia Perkukuh Kerjasama Strategik, JC-ESTC KE-5 Catat Kemajuan Konkrit(209 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 31
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 13 Ogos 2026, 12:06:47.

logo-sirim