KENYATAAN MEDIA
MALAYSIA DAN ASIA TENGAH PERKUKUH KERJASAMA PENDIDIKAN TINGGI DI ASTANA
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir tiba di Astana, Kazakhstan untuk lawatan kerja yang bermula pada 25 hingga 27 September 2026 bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia–Asia Tengah (Malaysia–Central Asia Ministerial Higher Education Meeting).
Mesyuarat ini merupakan pertemuan pertama antara Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia dengan menteri-menteri yang bertanggungjawab terhadap pendidikan tinggi dari negara-negara Asia Tengah, sekali gus membuka ruang untuk membina kerjasama yang lebih tersusun antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kedua-dua pihak.
“Asia Tengah mempunyai tradisi keilmuan yang besar dan potensi baharu yang wajar kita terokai bersama. Pertemuan ini ialah langkah awal untuk menghubungkan kekuatan universiti, penyelidik dan generasi muda Malaysia dengan rantau tersebut,” kata YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry.
Bersempena lawatan tersebut, Forum Pendidikan Tinggi Malaysia–Asia Tengah 2026 (Malaysia–Central Asia Higher Education Forum 2026) yang menghimpunkan pemimpin dan wakil IPT turut diadakan bagi membincangkan perihal mobiliti pelajar dan pensyarah, kerjasama penyelidikan serta hubungan antara universiti yang dapat memberikan manfaat bersama.
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry juga dijadualkan menerima penganugerahan gelaran Profesor Kehormat daripada Universiti Nasional Eurasia L.N. Gumilyov dan menyampaikan syarahan umum di universiti berkenaan.
Berdasarkan rekod sehingga Jun 2026, kira-kira 3,726 pelajar dari lima (5) negara Asia Tengah, iaitu Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan, sedang melanjutkan pengajian di IPT awam dan swasta di Malaysia.
Lawatan ini mencerminkan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperluas jaringan antarabangsa pendidikan tinggi Malaysia serta membina kerjasama jangka panjang dengan negara-negara Asia Tengah.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
25 SEPTEMBER 2026
Muat Turun:
pdf Kenyataan Media- Malaysia dan Asia Tengah Perkukuh Kerjasama Pendidikan Tinggi di Astana(185 KB)
- Last updated on .
- Hits: 627
