KENYATAAN MEDIA
FORUM PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA–ASIA TENGAH 2026
PERKUKUH KERJASAMA UNIVERSITI DAN MOBILITI PELAJAR
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir hari ini melancarkan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia–Asia Tengah 2026 (MAHEF 2026) di Astana, Kazakhstan.
Forum anjuran Education Malaysia Global Services (EMGS) yang akan berlangsung pada 28 September 2026 itu menghimpunkan pemimpin pendidikan dari Malaysia dan lima (5) negara Asia Tengah iaitu Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan. Sesi pleno yang menampilkan pakar pendidikan tinggi dan industri akan memberi tumpuan kepada kerjasama universiti, penyelidikan dan peluang pendidikan serta mobiliti pelajar.
Majlis pelancaran bertemakan “Advancing Malaysia–Central Asia Higher Education Transformation” turut dihadiri Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Kazakhstan, TYT Sayasat Nurbek dan ahli akademik serta mahasiswa Maqsut Narikbayev University (MNU). Delegasi Malaysia terdiri daripada pegawai kanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan EMGS, bersama ahli akademik daripada beberapa Universiti Awam (UA).
Antara perkara yang akan dibincangkan dalam forum itu ialah pendidikan rentas negara, penyelidikan bersama dan mobiliti pelajar dua hala. Ini termasuk peluang penubuhan kampus cawangan, program francais dan berkembar, program ijazah bersama atau dwiijazah, pemindahan kredit serta biasiswa.
Dalam ucapannya, Dr. Zambry mencadangkan pembangunan kerangka mobiliti pelajar yang praktikal antara Malaysia dengan negara-negara Asia Tengah bagi memperkukuh kerjasama dan menangani halangan pergerakan pelajar.
“Kita perlu melihat lebih jauh daripada jumlah permohonan semata-mata. Kita perlu memahami berapa ramai pelajar yang benar-benar mendaftar, cabaran yang mereka hadapi, sama ada mereka menamatkan pengajian, dan bagaimana pendidikan itu memberi manfaat kepada mereka selepas tamat belajar. Pengetahuan ini akan membantu kita membuat keputusan yang lebih baik bersama-sama,” katanya.
Cadangan itu dibuat ketika minat terhadap pendidikan tinggi Malaysia dari rantau Asia Tengah terus meningkat. Dari Januari hingga Ogos 2026, jumlah permohonan dari lima (5) negara Asia Tengah yang terlibat dalam MAHEF 2026 melebihi 3,100, meningkat 11 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
“Malaysia dan Asia Tengah berkongsi hasrat untuk memperluas akses pelajar kepada pendidikan yang mempunyai hubungan antarabangsa. MAHEF 2026 menyediakan platform untuk institusi kita membina kerjasama yang dapat merealisasikan hasrat itu, daripada program dan penyelidikan bersama hingga peluang yang lebih luas untuk pelajar menuntut ilmu di kedua-dua rantau,” kata Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Novie Tajuddin.
Majlis pelancaran itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pusat Pembangunan Pendidikan Tinggi dan Kerjasama Global di bawah KPT, Sains dan Inovasi Republik Kazakhstan dengan EMGS.
MoU tersebut menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi antara Malaysia dengan Kazakhstan. Ia membuka ruang lebih luas untuk pertukaran ilmu, kerjasama akademik dan mobiliti pelajar serta institusi kedua-dua negara.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
26 SEPTEMBER 2026
Muat Turun:
- Last updated on .
- Hits: 768
