logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

MAJLIS SAMBUTAN HARI AKADEMIA DAN BULAN AKADEMIA PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2023
“AKADEMIA PEMACU MALAYSIA MADANI”


Hari Akademia merupakan suatu hari khusus lagi istimewa untuk semua ahli akademia di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bagi menghargai jasa dan sumbangan tenaga akademik mereka. Ahli akademia di IPT awam dan swasta, politeknik serta kolej komuniti di negara ini adalah pemangkin dan pemacu Malaysia yang madani. Justeru, “Akademia Pemacu Malaysia Madani” telah dipilih sebagai tema sambutan Hari Akademia bagi tahun 2023. Tema ini dipilih untuk membangkitkan semangat ahli akademia ke arah membangunkan masyarakat dan negara diselarikan dengan teras Negara Madani.

Antara pengisian pada Majlis Sambutan Hari Akademia pada hari ini adalah Sesi Townhall berkenaan Kewibawaan Akademia yang akan dibentangkan oleh YBrs. Prof. Dr. Rosna Awang Hashim, Pengerusi Kluster Pendidikan dan Pembangunan Insan, Akademi Profesor Malaysia (APM) dan akan disertai oleh Felo Kehormat APM iaitu YBhg. Prof. Emerita Datuk Dr. Asma Ismail, YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali dan YBhg. Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon. Majlis diteruskan dengan Sesi Forum Prof. Ulung yang bertajuk Akademia Pemacu Malaysia Madani dan diulas oleh YBhg. Prof. Ulung Dato’ Rajah Rasiah dan YBhg. Prof. Ulung Datuk Dr. Harith Ahmad.

Majlis turut menyaksikan Pelancaran Buku Garis Panduan Program Sarjana Muda Perantisan (Apprenticeship Degree) yang merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menggalakkan kaedah pembelajaran inovatif bagi memenuhi keperluan industri melalui kerjasama berimpak tinggi di antara kedua-dua pihak. Pembentukan tenaga kerja berkualiti dan tersedia masa hadapan adalah tanggungjawab bersama di antara akademia serta pihak industri. Penghasilan Buku Garis Panduan ini menyaksikan peralihan daripada pembelajaran berasaskan bilik darjah (classroom-based) kepada pembelajaran berasaskan pekerjaan (workbased learning). Melalui inisiatif ini, pengalaman pembelajaran imersif di industri akan mempertingkatkan kompetensi pelajar untuk mencapai objektif pekerjaan mereka.

Turut diadakan adalah penyerahan Surat Pelantikan Rakan Strategik Kursi Akademik Luar Negara yang diaktifkan semula pada tahun ini kepada empat (4) Universiti Awam (UA) yang terpilih iaitu Universiti Malaya bagi Kursi Pengajian Melayu di Victoria University of Wellington, Universiti Sains Malaysia bagi Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University, Universiti Kebangsaan Malaysia bagi Kursi Eropah bagi Pengajian Melayu di Leiden University, dan Universiti Teknologi MARA bagi Kursi Tun Abdul Razak di Ohio University. Pelantikan rakan strategik secara institution-to-institution (i2i) ini merupakan anjakan paradigma daripada kaedah terdahulu iaitu Government-to-institution (G2i).

Selaras dengan usaha KPT untuk meningkatkan keterlihatan UA di peringkat antarabangsa, peranan sebagai rakan strategik bagi Kursi Akademik Luar Negara ini akan dipertanggungjawabkan secara penggiliran kepada UA melalui konsortium rakan strategik. Kaedah pelaksanaan secara konsortium ini akan meningkatkan peluang kolaborasi dan penyelidikan antara UA di Malaysia dengan universiti hos di luar negara. KPT berharap pelantikan ini menjadi pemangkin kepada usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat global serta menjadi simbolik kepada kelangsungan hubungan kukuh sedia ada antara Malaysia dan New Zealand, China, Belanda serta Amerika Syarikat.

Majlis diakhiri dengan Sesi Penyerahan Watikah Universiti Peneraju Program Penyelidikan Translasional. KPT akan melaksanakan Program Penyelidikan Translasional 2023 yang bertujuan menghasilkan penyelesaian komprehensif terhadap isu-isu semasa negara melalui inovasi sosial. Program Penyelidikan Translasional 2023 merupakan program yang memfokuskan kepada penyelidikan yang menghasilkan output dan outcome berimpak tinggi kepada kerajaan, komuniti, industri dan akademia. Melalui program ini, ia mampu mengetengahkan dan menghebahkan kepentingan hasil penyelidikan yang telah dilaksanakan oleh universiti awam dan swasta yang banyak memberikan impak besar kepada pihak berkepentingan.

Program Penyelidikan Translasional merupakan inisiatif KPT untuk melaksanakan penyelidikan pembangunan berasaskan penyelidikan fundamental yang berpotensi untuk diterjemahkan dan memberi manfaat kepada kerajaan, komuniti, industri dan akademia. Lapan (8) bidang fokus telah dikenalpasti dengan setiap bidang fokus akan diterajui oleh sebuah universiti peneraju iaitu Universiti Malaya bagi bidang Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia bagi bidang Keterjaminan Makanan, Universiti Teknologi Malaysia bagi bidang Teknologi Watan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia bagi bidang TVET Termaju, Universiti Sains Malaysia bagi bidang Kesejahteraan Sosial, Universiti Kebangsaan Malaysia bagi bidang Malaysia MADANI, Universiti Malaysia Sabah bagi bidang Kelestarian Wilayah dan Universiti Tenaga Nasional bagi bidang Kelestarian Tenaga.

Setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua ahli akademia atas kesungguhan kerja dan sumbangan akademik. Semoga Sambutan Hari Akademia dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 menjadi titik permulaan kepada usaha berterusan ke arah peningkatan keupayaan Penyampaian Perkhidmatan Pendidikan Tinggi Negara.

Selamat Hari Akademia 2023!

Kementerian Pendidikan Tinggi
4 Oktober 2023

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Majlis Sambutan Hari Akademia Dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 “Akademia Pemacu Malaysia MADANI”.pdf (143 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 6668
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 24 Februari 2024, 09:25:25.