logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

MAJLIS PENGANUGERAHAN TOKOH AKADEMIK BAHASA MELAYU DAN WACANA BAHASA MELAYU KONTEMPORARI 2023


  1. Kementerian telah menganjurkan Majlis Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) dan Wacana Bahasa Melayu Kontemporari 2023 di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur pada hari ini.
  1. ATABM yang telah memasuki tahun ke-12 penganjurannya bertujuan untuk mengiktiraf ahli-ahli akademik dalam pelbagai disiplin ilmu yang telah memperlihatkan dampak penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di institusi pendidikan tinggi.
  1. Setiap tahun pihak Kementerian menerima permohonan yang sangat menggalakkan dalam kalangan ahli akademik daripada pelbagai latar belakang bidang kepakaran.
  1. Penganugerahan ini secara tidak langsung menyokong kerangka besar ekonomi madani melalui inisiatif yang telah digariskan di bawah Kementerian iaitu memfokuskan penyelidikan dan inovasi Institut Pengajian Tinggi ke arah menguruskan cabaran-cabaran utama negara serta meningkatkan keterlibatan sektor pendidikan tinggi negara di peringkat global (global presence).
  1. Seterusnya, bagi meraikan sumbang bakti dan usaha memartabatkan bahasa Melayu, sukacita dimaklumkan bahawa pada tahun ini, YBhg. Prof. Dr. Farahwahida binti Mohd Yusof dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2023.
  1. Beliau merupakan Professor Pengajian Islam dalam bidang akidah dan pemikiran di Universiti Teknologi Malaysia. Beliau secara konsisten menjadikan bidang yang diceburi sebagai wahana dalam memperjuangkan bahasa melayu, tidak kira di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
  1. Bagi menggalakkan penglibatan ahli akademik dalam memartabatkan bahasa Melayu, Kementerian juga turut memberi laluan dan peluang untuk mengiktiraf pensyarah muda di Universiti Awam (UA). Peluang ini tidak hanya terhad pada UA, tetapi diperluaskan lagi kepada pensyarah di Politeknik dan Kolej Komuniti.
  1. Tahun ini merupakan tahun ke-empat Kementerian memberikan pengiktirafan kepada dua (2) kategori ini. Penerima Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu telah dinobatkan kepada Prof. Dr. Mohd Affendi bin Mohd Shafri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia manakala YBrs. Dr. Norashady bin Mohd Noor daripada Politeknik Sultan Azlan Shah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal.
  1. Untuk memastikan bahasa Melayu terus diperkasa dan diperkukuhkan, pada tahun ini juga Kementerian telah merasmikan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam 2023 – 2030. Pelan baharu ini menggariskan empat (4) objektif utama iaitu:
    • membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu;
    • menghasilkan graduan yang berketerampilan dalam bahasa Melayu;
    • merealisasikan bahasa Melayu sebagai wadah pembangunan negara;dan
    • memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai sumber rujukan setanding dengan bahasa asing.

Kementerian mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para penerima anugerah. Semoga ianya menjadi penyuntik semangat kepada ahli akademik yang lain untuk terus memperjuangkan serta memartabatkan bahasa Melayu dalam setiap cabang disiplin ilmu. Kementerian berharap anugerah ini dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang.

Kementerian Pendidikan Tinggi
2 OKTOBER 2023

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Majlis Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu Dan Wacana Bahasa Melayu Kontemporari 2023.pdf (129 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 5044
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 24 Februari 2024, 09:25:25.