KENYATAAN MEDIA
KPT TERUSKAN PROGRAM MYBRAIN 2.0, TAWAR PENAJAAN PERINGKAT
IJAZAH SARJANA DAN IJAZAH KEDOKTORAN
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan pelaksanaan program penajaan MyBrain 2.0 yang merupakan kesinambungan daripada program MyBrain15 bagi menawarkan akses pendidikan lebih luas kepada semua rakyat Malaysia yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran.
Bagi fasa pertama, program MyBrain 2.0 mensasarkan penerima dalam kalangan orang awam yang tidak bekerja atau tidak berpendapatan tetap; serta pensyarah Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) bagi melanjutkan pengajian mereka di 20 Universiti Awam (UA).
Selaras dengan aspirasi Kerajaan dalam memperkasakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pelaksanaan MyBrain 2.0 akan memberi keutamaan kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut selain bidang Sains Sosial dan Sastera Ikhtisas.
Penajaan program MyBrain 2.0 merangkumi pembiayaan Yuran Pengajian dan Elaun Sara Hidup. Kemudahan pembiayaan yang ditawarkan di bawah program ini merupakan satu daripada inisiatif pihak Kerajaan meringankan beban kewangan pelajar di samping melahirkan graduan yang mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi.
Permohonan untuk penajaan ini akan dibuka pada 1 Ogos 2024 (Khamis) jam 3.00 petang sehingga 21 Ogos 2024 (Rabu) jam 11.59 malam secara atas talian melalui Sistem Permohonan MyBrain 2.0 di pautan: https://biasiswa.mohe.gov.my/MyBrain2.
Program MyBrain 2.0 merupakan satu platform penting dalam menyokong pembangunan modal insan negara yang mempunyai daya intelek yang tinggi serta berupaya memacu kemajuan dari segi pemikiran, kerohanian dan material untuk merealisasikan gagasan Malaysia MADANI.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
1 Ogos 2024
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 4720