logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

KEPUTUSAN QS WORLD UNIVERSITY RANKINGS 2023


Laporan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (WUR) 2023 edisi ke-sembilan belas (19) yang dikeluarkan pada 9 Jun 2022 buat pertama kalinya telah menyenaraikan 24 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia dalam penarafan ranking pada tahun ini.

Penarafan kali ini merupakan satu pencapaian tertinggi negara dan prestasi IPT yang ditunjukkan adalah seperti berikut : -

  1. 10 universiti berjaya mengekalkan kestabilan setiap tahun;
  2. 9 universiti telah berjaya memperbaiki kedudukan;
  3. 3 universiti telah mencatatkan penurunan; dan
  4. 2 universiti adalah penyertaan baharu.

Penilaian QS WUR adalah berdasarkan kepada enam petunjuk prestasi utama iaitu reputasi akademik (40%), reputasi majikan (10%), nisbah pelajar:pensyarah (20%), nisbah sitasi:pensyarah (20%), pensyarah antarabangsa (5%) dan pelajar antarabangsa (5%). Sistem ranking ini menilai dalam tiga bidang utama iaitu impak penyelidikan, pengajaran dan pengantarabangsaan.

Laporan QS WUR 2023 menunjukkan bahawa 12 daripada 24 universiti telah berjaya meningkatkan skor reputasi akademik (AR) berdasarkan kepada tinjauan 151,000 ahli akademik. 12 daripada 24 universiti telah meningkatkan skor reputasi majikan (ER) berdasarkan kepada tinjauan 99,000 majikan dan pengurus pengambilan pekerja.

Universiti Malaya (UM) berjaya mengekalkan kedudukan 100 universiti teratas di dunia dengan berada pada kedudukan ke-70, meskipun turun lima (5) anak tangga berbanding tahun 2022 (ke-65).

Universiti awam (UA) dan universiti swasta lain turut menunjukkan peningkatan yang amat membanggakan dengan mengekalkan kedudukan 300 terbaik universiti di dunia. Berdasarkan laporan ini, Universiti Putra Malaysia (UPM) naik berada dalam kelompok 123 (2023) berbanding 143 (2022); Universiti Kebangsaan (UKM) pula naik ke tangga 129 (2023) berbanding 144 (2022); manakala, Taylor’s University berada pada kedudukan ke-284 (2023) berbanding 332 (2022).

Dengan kesungguhan, perancangan yang teliti dan strategi yang berkesan, Kementerian Pengajian Tinggi yakin dan percaya UA dan universiti swasta di Malaysia mampu untuk terus berdaya saing demi sebaris dengan universiti terkemuka dunia pada masa hadapan.

DR. NORAINI AHMAD
Menteri Pengajian Tinggi

10 Jun 2022

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media QS World University Ranking 2023 (290 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 16471
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 20 Jun 2024, 11:05:30.