YB Timbalan Menteri Seru Guna AI Untuk Tingkatkan Keupayaan Manusia, Bukan Gantikan Daya Fikir

YB Timbalan Menteri Seru Guna AI Untuk Tingkatkan Keupayaan Manusia, Bukan Gantikan Daya Fikir

25 Julai 2026 | Melaka

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim berkata kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan sebagai alat yang membantu meningkatkan keupayaan manusia, bukannya menggantikan daya fikir, pertimbangan moral dan nilai kemanusiaan.

Beliau menegaskan generasi muda perlu menguasai kemahiran AI bersama kefahaman terhadap aspek etika dan tanggungjawab kerana teknologi itu bakal membentuk landskap pekerjaan serta kehidupan pada masa hadapan, namun hala tuju penggunaannya tetap ditentukan oleh manusia.

Dalam hubungan ini, beliau berkata pendidikan AI tidak seharusnya terhad kepada aspek teknikal semata-mata, sebaliknya perlu disertai pemahaman mengenai falsafah perkembangan teknologi supaya pengguna mampu membuat pertimbangan yang bijaksana terhadap manfaat dan risikonya.

Katanya lagi, Hang Tuah Jaya yang menempatkan pelbagai industri berteknologi tinggi termasuk sektor semikonduktor memerlukan lebih ramai bakat berkemahiran AI bagi memenuhi keperluan ekonomi setempat, sekali gus membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada generasi muda.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jelajah AI MyMahir TalentCorp Parlimen Hang Tuah Jaya yang berlangsung di Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), siang tadi.

Program anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dengan kerjasama UTeM itu menghimpunkan kira-kira 350 orang peserta terdiri dalam kalangan mahasiswa, pelajar sekolah dan belia bagi mengikuti pendedahan mengenai asas AI, prospek kerjaya serta latihan amali dalam bidang AI berautonomi, keselamatan siber, pengekodan, kreativiti, pembelajaran pintar dan robotik.

Turut hadir Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Talent Corporation Malaysia Berhad, Siva Kumeren A. Narayanan.

  • Last updated on .
  • Hits: 46
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 27 Julai 2026, 04:02:59.

logo-sirim