Pecah Tanah Kolej Komuniti Jelai Bukti Komitmen Perluas Akses TVET POLYCC Luar Bandar

Pecah Tanah Kolej Komuniti Jelai Bukti Komitmen Perluas Akses TVET POLYCC Luar Bandar

26 Julai 2026 | Lipis, Pahang

Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) perlu dilihat sebagai laluan yang mampu mengubah masa depan anak luar bandar dengan menyediakan peluang pendidikan dan kemahiran tanpa mengira pencapaian akademik mereka, kata Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata akses kepada pendidikan menjadi faktor yang membolehkan lebih ramai anak kampung, termasuk masyarakat Orang Asli, meningkatkan taraf hidup serta berpeluang menjadi pemimpin dan tenaga profesional pada masa depan.

Menurut beliau, ibu bapa tidak seharusnya melabel anak yang kurang cemerlang dalam peperiksaan sebagai gagal kerana setiap individu mempunyai bakat tersendiri yang boleh digilap melalui pendidikan berasaskan kemahiran, sekali gus membuktikan kejayaan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Kolej Komuniti Jelai yang disempurnakan bersama Menteri Besar Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail di Dataran Santuari Tanjung Gahai, di sini petang tadi.

Kolej Komuniti Jelai yang dibangunkan dengan kos melebihi RM55 juta bakal menjadi kolej komuniti ke-11 di Negeri Pahang dan mampu menampung sekurang-kurangnya 240 orang pelajar menerusi penawaran program berteraskan Agroteknologi dan Teknologi Pertanian Lestari, sejajar dengan potensi ekonomi daerah Jelai yang berasaskan sektor pertanian dan agromakanan.

Institusi itu turut berfungsi sebagai pusat pembangunan komuniti melalui penawaran latihan kemahiran, Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), keusahawanan, Pertanian Pintar (Smart Farming) serta aplikasi Agro 4IR bagi meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi masyarakat setempat.

Penubuhan Kolej Komuniti Jelai dijangka menyokong Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025-2030 (PET30) menerusi pembangunan modal insan dalam sektor agromakanan, perladangan, transformasi wilayah dan ekonomi hijau, di samping memperluaskan akses pendidikan TVET kepada masyarakat luar bandar.

Projek itu dijadualkan memulakan pembinaan pada awal 2027 sebelum siap sepenuhnya pada 2032 menerusi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Projek Rolling Plan (PRP) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry berkata Negeri Pahang kini mempunyai 13 buah institusi di bawah rangkaian Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC), terdiri daripada tiga (3) politeknik dan 10 kolej komuniti, yang menyediakan pelbagai program mengikut keperluan industri serta potensi ekonomi di negeri itu.

Tambah beliau lagi, Kolej Komuniti Jelai diharap menjadi medan mencungkil bakat generasi muda di Jelai dan kawasan sekitarnya supaya lebih ramai memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk membina kerjaya, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.

Turut hadir Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB Datuk Dr. Ramli Mohd Nor; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; serta Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah.

  • Last updated on .
  • Hits: 41
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 27 Julai 2026, 04:02:59.

logo-sirim