YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Seru Pelajar PUO Gabung Teknologi dan Nilai Kemanusiaan

YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Seru Pelajar PUO Gabung Teknologi dan Nilai Kemanusiaan

5 Mac 2026 | Ipoh, Perak

​Transformasi pendidikan tinggi kini menuntut agar penghasilan graduan bukan sahaja diukur melalui kelayakan akademik, tetapi menerusi jiwa kemanusiaan dan kemampuan memimpin perubahan sebagaimana yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

​Naratif penting tersebut telah dikongsikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim pada Program Iftar Perdana dan Sesi Ramah Mesra Politeknik Ungku Omar (PUO) semalam.

​Penganjuran program tersebut telah menggabungkan elemen pemerkasaan teknologi digital dan penerapan nilai kerohanian yang kukuh.

​Sempena program itu, beliau turut melancarkan Apple Education Classroom di Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK) sebagai pusat inkubasi kreativiti generasi baharu TVET.

Selain itu, YB Adam Adli ​turut melancarkan e-Book bertajuk "Lensa Kepimpinan", mengumpulkan koleksi ucapan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah, yang turut hadir semalam.

​Dalam ucapannya, YB Timbalan Menteri menjelaskan bahawa institusi teknikal seumpama PUO memainkan peranan kritikal dalam membentuk generasi yang cepat menyesuaikan diri dengan anjakan teknologi global.

​Menyantuni suara mahasiswa selari dengan perhatian berterusan Kerajaan terhadap anak muda, beliau turut meluangkan masa dalam sesi Townhall bersama pelajar.

​Pada majlis yang sama, barisan kepimpinan baharu pelajar telah menerima Watikah Pelantikan Jemaah Perwakilan Pelajar (JPP) PUO bagi memperkasakan perwakilan suara di peringkat kampus.

​Melengkapi pengisian program semalam, pengedaran bubur lambuk di KAMSIS Sinergi telah memeriahkan lagi suasana bulan puasa yang menekankan semangat kebajikan dan perkongsian rezeki.

​Hadir sama, Pengarah PUO, Dr. Hajah Salmi Che Meh. 

  • Last updated on .
  • Hits: 153
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 09 Mac 2026, 04:59:26.

logo-sirim