YB Menteri KPT Hadiri Majlis Mantap Malaysia Bersama AI, Google Perkasa Pembangunan Bakat Digital Negara

YB Menteri KPT Hadiri Majlis Mantap Malaysia Bersama AI, Google Perkasa Pembangunan Bakat Digital Negara

4 November 2026 | Kuala Lumpur

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menghadiri Majlis Mantap Malaysia Bersama AI anjuran Google dengan kerjasama Kementerian Digital yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), hari ini.

Majlis berkenaan menyaksikan pengumuman pelaburan tambahan Google berjumlah US$15 bilion (melebihi RM60 bilion) di Malaysia bagi tempoh tahun 2027 hingga tahun 2028, sekali gus mencerminkan keyakinan syarikat teknologi global terhadap keupayaan, kestabilan dan potensi Malaysia sebagai hab digital serantau.

YAB Perdana Menteri dalam ucaptamanya menegaskan bahawa pelaburan asing perlu memberikan manfaat menyeluruh kepada negara melalui pembangunan industri tempatan, peningkatan kualiti modal insan serta pengurusan sumber tenaga dan air secara bertanggungjawab, selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

Dalam aspek pembangunan modal insan, Google menyasarkan peningkatan kemahiran kecerdasan buatan (AI) kepada 800,000 orang rakyat Malaysia dalam tempoh lima (5) tahun, meliputi pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, tenaga kerja dan komuniti bagi memastikan manfaat teknologi dapat dinikmati secara lebih meluas.

Bagi sektor pendidikan tinggi, kerjasama berkenaan turut merangkumi penubuhan Institut Pusat Data (Data Center Institutes) di politeknik bagi menyediakan latihan praktikal berasaskan simulasi kepada pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus membuka laluan kepada tenaga kerja tempatan untuk memenuhi keperluan industri pusat data dan teknologi digital.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo dan Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Sebelum itu, YB Menteri Pendidikan Tinggi turut mengadakan pertemuan dengan delegasi Google yang diketuai Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan (Chief Investment Officer) Alphabet dan Google, Ruth Porat, di UM bagi membincangkan peluang kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan, pembangunan bakat serta kepakaran teknologi dalam kalangan warga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Naib Canselor UM, Dato’ Seri Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.

  • Last updated on .
  • Hits: 34
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 06 November 2026, 09:45:18.

logo-sirim