Malaysia-Indonesia Perluas Kerjasama Pendidikan Tinggi dan Pelestarian Warisan Nusantara

4 November 2026 | Kuala Lumpur
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada Menteri Kebudayaan Republik Indonesia, TYT Dr. H. Fadli Zon.
Pertemuan ini menjadi platform bagi kedua-dua pemimpin bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman mengenai perkembangan pendidikan tinggi serta usaha memperkukuh hubungan kerjasama dalam bidang pendidikan dan kebudayaan antara Malaysia dengan Republik Indonesia.
Dalam pertemuan tersebut, YB Menteri turut berkongsi hala tuju pendidikan tinggi negara menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, yang memberi penekanan terhadap bidang Kecerdasan Buatan (AI), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pembangunan kurikulum yang seimbang dengan penerapan nilai-nilai kemanusiaan, selaras dengan aspirasi “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”.
Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai sejarah dan ketamadunan Nusantara, khususnya aspek bahasa, kesusasteraan serta warisan Melayu yang menjadi asas penting kepada hubungan serumpun, termasuk dengan Indonesia dan Brunei Darussalam.
Perbincangan turut menyentuh kerjasama sedia ada dalam usaha memelihara dan memartabatkan warisan kebudayaan Nusantara, termasuk pengiktirafan UNESCO terhadap warisan seni dan budaya seperti kebaya dan seni persembahan Mak Yong.
Selain itu, kedua-dua pihak turut meneroka potensi kerjasama yang lebih luas dalam pembangunan dan pemerkasaan kebudayaan Melayu sebagai khazanah warisan bersama yang perlu terus dipelihara untuk generasi akan datang.
Pertemuan ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala melalui perkongsian ilmu, pendidikan dan kebudayaan, sekali gus mempererat hubungan serumpun Malaysia dan Indonesia.
Hadir sama di pihak KPT ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Encik Ahmad Rizal Adnan; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah; Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT); Prof. Dr. Harshita Aini Haroon serta wakil-wakil daripada Jabatan dan Agensi Kementerian.
- Last updated on .
- Hits: 31
