WPP PTPTN, Usaha Murni KPT Pastikan Tiada Pelajar Tercicir Ke IPTA

WPP PTPTN, Usaha Murni KPT Pastikan Tiada Pelajar Tercicir Ke IPTA

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited memastikan akses pendidikan tinggi tidak terbatas oleh kekangan kewangan apabila Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menyempurnakan Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Pusat Sinergi Parlimen Sepanggar @ Suria Inanam, di sini hari ini.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada PTPTN yang diterajui oleh Pengerusinya, YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim serta kepimpinan agensi tersebut atas usaha berterusan membantu pelajar menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi melalui kemudahan WPP.

Menurut beliau, PTPTN telah melaksanakan amanah dengan cemerlang dalam menjayakan agenda merakyatkan pendidikan negara dan usaha ini seiring dengan hasrat Kerajaan untuk memperkasa modal insan yang berilmu dan berdaya saing.

Sehingga 31 Ogos 2025, PTPTN telah membantu seramai 4.17 juta pelajar dengan jumlah pinjaman berjumlah RM76.15 bilion, sekali gus membuktikan peranan besar agensi itu dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang menjadi pemacu pembangunan negara.

Selain penyediaan pinjaman, PTPTN turut aktif mempromosikan budaya penabungan melalui Simpan SSPN sebagai langkah mengurangkan kebergantungan masyarakat terhadap pinjaman pendidikan, seiring dengan hasrat kerajaan mentransformasikan minda masyarakat daripada meminjam kepada menyimpan.

Terdahulu, pelaksanaan WPP ini mula diperkenalkan sejak tahun 1999 bagi membantu pelajar menampung sebahagian perbelanjaan persiapan memasuki Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA). Kemudahan ini boleh digunakan bagi pembelian pakaian, peralatan, pengangkutan dan keperluan lain sebelum mendaftar.

Setakat 31 Ogos 2025, seramai 990,646 pelajar telah menerima manfaat WPP dengan peruntukan keseluruhan RM1.46 bilion. Bagi Sesi Kemasukan Oktober 2025, seramai 3,138 pelajar di Sabah menerima tawaran WPP berjumlah RM4.71 juta, termasuk 179 pelajar di kawasan Parlimen Sepanggar dengan peruntukan RM268,500.

Beliau turut memaklumkan bahawa surat tawaran WPP yang disampaikan hari ini sah sehingga 23 November 2025 dan pelajar boleh menunaikannya di mana-mana cawangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bermula 24 September 2025 dengan membawa MyKad serta surat tawaran asal.

Dalam pada itu, YB Datuk Ts. Mustapha mengingatkan pelajar agar menggunakan kemudahan pinjaman PTPTN secara berhemah serta menunaikan tanggungjawab membayar balik pinjaman selepas tamat pengajian bagi menjamin kelangsungan manfaat ini kepada generasi seterusnya.

Turut hadir, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Operasi Cawangan PTPTN, Mohd Rusdi Ismail; dan Pengarah Parlimen Sepanggar, Ahsim Jamat. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 872
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 24 Oktober 2025, 04:17:19.

logo-sirim