Waris Ketua Penolong Pengarah AKEPT Terima Lebih RM100,000 Manfaat Simpan SSPN

Pemergian mendiang Poovan a/l Arumugam, Ketua Penolong Pengarah Pusat Pembangunan Kepimpinan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) pada 25 Jun yang lalu merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada ahli keluarganya, juga warga AKEPT.
Namun di sebalik kesedihan itu, keprihatinan mendiang dalam merancang kewangan keluarga menerusi simpanan pendidikan Simpan SSPN telah memberikan sinar harapan kepada waris apabila mereka menerima manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian berjumlah lebih RM100,000.
Bagi menzahirkan sokongan dan simpati, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mengadakan Program Ziarah Kasih Simpan SSPN di kediaman keluarga mendiang di sini petang semalam.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir hadir menyantuni balu mendiang, Sivagami a/p Vairavan dan menyampaikan surat serta replika kad manfaat perlindungan takaful Simpan SSPN.
Melalui akaun Simpan SSPN Prime yang dibuka atas nama sendiri dan tiga anak, mendiang layak menerima manfaat perlindungan takaful berjumlah RM1,822.56 dan khairat kematian sebanyak RM3,000.00 menjadikan jumlah keseluruhan RM4,822.56.
Selain itu, mendiang turut membuka tiga (3) akaun Simpan SSPN Plus untuk anak-anak di bawah Pakej Topas dan Delima dengan komitmen caruman takaful sebanyak RM30 sebulan sahaja telah melayakkan kesemua waris menerima manfaat perlindungan takaful berjumlah RM90,000.00 dan khairat kematian RM9,000.00 menjadikan jumlah manfaat Simpan SSPN Plus sebanyak RM99,000.00.
Secara keseluruhan, jumlah manfaat yang diterima waris melalui kedua-dua produk tersebut adalah sebanyak RM103,822.56 — satu bukti nyata bagaimana simpanan pendidikan juga boleh menjadi pelindung kewangan keluarga pada saat paling mencabar.
Program Ziarah Kasih ini bukan sahaja memperingati jasa pendeposit malah menyampaikan mesej penting mengenai perancangan kewangan berasaskan simpanan dan perlindungan takaful yang ditawarkan oleh PTPTN melalui Simpan SSPN.
Turut hadir Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; dan Pengarah AKEPT, Dr. Harshita Aini Haroon.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 661