UTM Jadi Medan Sukan Institusi Pendidikan 2025

UTM Jadi Medan Sukan Institusi Pendidikan 2025

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir semalam telah merasmikan Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SUPIM) 2025 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dikelolakan oleh Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai tuan rumah.

Kejohanan dwitahunan yang digilirkan antara dua (2) Kementerian iaitu Kementerian Pendidikan (KPM) dan KPT itu telah masuk edisi ke-10 dengan kali ini menghimpunkan 3,083 peserta termasuk 2,440 atlet dan pegawai, 370 pegawai teknikal dan pengadil serta 273 sukarelawan dari pelbagai Institusi Pendidikan seluruh negara.

Sebanyak 10 acara sukan dipertandingkan bermula 1 hingga 7 September melibatkan sukan renang, badminton, bola sepak, tenpin boling, olahraga, hoki, bola jaring, sepak takraw, memanah dan bola tampar, dengan 121 pingat emas menjadi rebutan.

Kontinjen yang bertanding terdiri daripada lapan (😎 majlis sukan utama termasuk MASUM, Majlis Sukan IPTS Malaysia (MASISWA), Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSP), Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM), Majlis Sukan Institut Pendidikan Guru Malaysia (MSIPGM), Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Majlis Sukan Kolej Vokasional Malaysia (MASKOV) dan Majlis Sukan Matrikulasi Malaysia (MSMM).

Dengan tema 'Kesukanan, Integrasi dan Profesionalisme', SIPMA 2025 menampilkan maskot rasmi “RIMO” yang melambangkan keberanian dan semangat juang, selaras dengan aspirasi pembangunan modal insan berdaya saing.

Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan komitmen KPT untuk terus menyokong pembangunan sukan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bagi melahirkan atlet berdaya saing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

SIPMA, yang mula dianjurkan pada 2005, terus menjadi platform penting untuk mencungkil bakat baharu atlet berusia 23 tahun ke bawah, sekali gus menyediakan ruang persaingan kompetitif bagi persediaan ke peringkat lebih tinggi.

Menurut YB Menteri, penganjuran ini juga dapat mengukuhkan sinergi antara KPT dan KPM dalam melahirkan modal insan holistik dan berdaya saing yang mampu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, YB Aznan Tamin; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Azlinda Azman; Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah KPM, Zuraini Abu Hassan; Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SIPMA 2025, Dato’ Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff; dan Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 370
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 September 2025, 04:30:59.

logo-sirim