Universiti Khusus Sains Sukan Jadi Aspirasi Pembangunan Atlet Negara

27 Oktober 2026 | Putrajaya
Cadangan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir untuk menubuhkan universiti khusus sains sukan merupakan satu aspirasi jangka panjang bagi membangunkan atlet berprestasi tinggi menerusi pendekatan yang menggabungkan kecemerlangan sukan dan akademik.
Beliau berkata kepakaran serta kemudahan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) boleh dimanfaatkan bagi meneroka gagasan itu, termasuk dalam bidang sains sukan, penyelidikan dan pemakanan atlet.
Pada masa sama, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meningkatkan jumlah biasiswa sukan daripada 100 kepada 110 tempat setahun bagi membantu lebih ramai atlet pelajar meneruskan pengajian sambil membina kerjaya sukan.
Keperluan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih sesuai turut dibangkitkan dalam sesi dialog bertemakan “Pembangunan Atlet Berprestasi Tinggi: Membina Legasi Juara”, termasuk cadangan jadual akademik fleksibel, penginapan, pemakanan khusus, fisioterapi, pemulihan serta sokongan psikologi.
Atlet IPT bagi sukan 100M dan 200M kebangsaaan, Muhammad Haziq Mohammad Akhir mengemukakan cadangan berkenaan bagi membantu atlet mengimbangi komitmen latihan dan pertandingan dengan tuntutan akademik, manakala pemanah kebangsaan Shakira Mashayit menekankan keperluan menambah baik kemudahan serta peralatan sukan di universiti.
Perbincangan itu berlangsung ketika Malaysia membuat persiapan menjadi tuan rumah Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026, edisi ke-22 temasya berkenaan yang dijadual berlangsung pada 10 hingga 19 Disember dengan penyertaan 11 negara ASEAN dalam 19 jenis sukan.
Temasya itu akan berlangsung lima universiti awam (UA) di Lembah Klang iaitu di UiTM Shah Alam, UM, UPM, UKM, dan UPNM, dengan anggaran keseluruhan 4,669 orang peserta merangkumi atlet, pegawai, pengadil, pegawai pertandingan dan sukarelawan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan sempena Bulan Sukan Negara sebagai pengiktirafan terhadap penyertaan warga Kementerian dalam aktiviti sukan dan rekreasi.
Seramai 19 orang atlet IPT yang bakal mewakili Malaysia dalam 19 acara sukan pada AUG 2026 turut diperkenalkan sebagai sebahagian daripada persiapan kontinjen negara menghadapi temasya berkenaan.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim serta barisan pengurusan tertinggi Kementerian.
- Last updated on .
- Hits: 18
