Malam Kemuncak PULARA 2026: YB Menteri KPT Seru Seni Budaya Jadi Wadah Bina Jati Diri dan Penyatuan Rakyat

26 Oktober 2026 | Manjung, Perak
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah hadir semalam bagi menyempurnakan Malam Kemuncak Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2026 yang mengangkat seni, puisi dan warisan budaya sebagai wahana membina jati diri serta menyatukan masyarakat.
Beliau berkata pembangunan negara yang menyeluruh tidak seharusnya dinilai berdasarkan pulangan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi pembangunan potensi manusia melalui penghayatan seni, budaya dan nilai kemasyarakatan.
Menurutnya, kepelbagaian budaya di Malaysia menjadi asas untuk rakyat memahami serta menghormati antara satu sama lain, sekali gus menyemai semangat kebersamaan dalam sebuah negara yang berbilang kaum.
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut menekankan tanggungjawab institusi pendidikan tinggi untuk menyalurkan ilmu kepada masyarakat agar kepakaran dan pengetahuan yang dibangunkan di universiti dapat memberikan manfaat di luar lingkungan akademik.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selaku pengelola PULARA 2026, Jabatan Pendidikan Tinggi, Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (MAKUM) dan universiti awam yang menjayakan festival itu, termasuk usaha membawa program berkenaan ke kampung-kampung di Manjung pada edisi kali ini.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk PULARA dianjurkan di Kuala Lumpur pada masa hadapan bagi mengangkat festival itu ke peringkat lebih besar, namun mengingatkan agar keunikan penganjuran di Manjung tidak dilupakan.
Pada majlis itu, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut menyampaikan puisi nukilannya berjudul “Di Laman Kenangan Itu” yang membawa mesej patriotisme, kepimpinan amanah, keadilan sosial dan perpaduan rakyat dalam membina masa depan negara.
Puisi itu turut menyeru rakyat agar tidak membiarkan perbezaan dan perebutan kuasa menjejaskan perpaduan, sebaliknya terus memelihara muafakat demi memastikan Malaysia kekal sebagai tanah air bersama.
Majlis kemuncak itu turut menyaksikan penyerahan pengiktirafan The Malaysia Book of Records kepada UPSI bagi rekod 'Most International Students Participating in a Foster Family Programme' menerusi Program Bakti MADANI Mega 2026 yang menghubungkan lebih 100 orang pelajar antarabangsa dari 25 buah negara dengan keluarga angkat tempatan di Manjung.
Turut hadir isteri Menteri Pendidikan Tinggi, Datin Seri Diraja Saripah Zulkifli; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Encik Ahmad Rizal Adnan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, Naib Canselor UPSI, Dato’ Prof. Dr. Md Amin Md Taff; serta Orang Besar Jajahan Manjung, Toh Seri Bijaya Leftenan Kolonel (B) Dato’ Shaharudin Haji Nazari.
- Last updated on .
- Hits: 89
