SUKIPT 2026 Buka Tirai, Atlet IPT Diseru Cipta Legasi Juara ke Pentas Dunia

30 Ogos 2026 | Kuala Lumpur
Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 menjadi medan untuk mahasiswa membuktikan keupayaan mereka bukan sahaja dalam bidang sukan malah akademik, sekali gus membuka laluan kepada pembentukan atlet yang mampu mengangkat nama Malaysia di persada dunia.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata sukan merupakan wahana penting dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja hebat dalam bidang keilmuan tetapi turut mampu menyumbang kepada pembangunan sukan negara.
Beliau berkata SUKIPT yang kini memasuki edisi ketujuh turut menjadi ruang untuk mahasiswa daripada universiti awam, universiti swasta, politeknik dan kolej komuniti berkumpul, berinteraksi serta menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan warga institusi pendidikan tinggi (IPT).
“Empat (4) mahasiswa Malaysia membuktikan mereka mampu bersaing dengan yang terbaik di dunia dan menempa kejayaan di Sukan Komanwel Glasgow,” katanya ketika merasmikan SUKIPT 2026 di UM Arena, Universiti Malaya (UM) semalam.
Bertemakan “Mencipta Legasi Juara”, SUKIPT 2026 berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September dengan penyertaan 64 kontinjen, manakala 7,697 atlet beraksi dalam pertandingan yang menawarkan 229 pingat emas, dengan sokongan kira-kira 2,000 pegawai teknikal dan 750 sukarelawan.
YB Menteri berkata kejayaan atlet IPT di peringkat antarabangsa membuktikan bahawa mahasiswa mampu mengimbangi tuntutan akademik dengan kecemerlangan sukan, termasuk pencapaian Khieu Hoe Yean dari UCSI University dan Wong Ling Ching dari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Sukan Universiti Dunia 2025.
Katanya, pencapaian empat mahasiswa IPT pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 turut menjadi bukti kemampuan berkenaan, termasuk Muhammad Erry Hidayat dari Universiti Putra Malaysia dan Muhammad Aniq Kasdan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang masing-masing memenangi pingat emas dalam acara angkat berat, selain Amir Daniel Abdul Majid dari Universiti Sains Malaysia yang mencipta sejarah sebagai atlet Malaysia pertama memenangi emas judo di Sukan Komanwel.
Beliau berkata tahun ini turut menyaksikan atlet IPT memecahkan rekod kebangsaan, termasuk Umar Osman dari Politeknik Sultan Ibrahim dalam acara 400 meter lelaki, Muhammad Fakhrul Afizul Nasir dari UPM dalam acara 400 meter berpagar lelaki serta jaguh muda UPSI, Danish Iftikhar Muhammad Rosli yang memecahkan dua rekod SUKMA dalam acara 100 meter dan 4 x 100 meter.
Dalam pada itu, upacara perasmian turut menyaksikan Muhammad Farreez Isqandar Abdul Rais, atlet pickleball UM, tampil sebagai pembaca ikrar atlet, manakala obor ikonik SUKIPT dibawa secara larian berganti-ganti oleh lima (5) atlet UM iaitu Nur Humaira Abdul Karim, Jonah Chang Anak Rigan, Nurul Aliana Syafika Azizan, Elena Goh Ling Yin dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.
SUKIPT 2026 turut mempertandingkan pelbagai jenis sukan di beberapa venue sekitar Kuala Lumpur, selain menyediakan insentif RM3,000 bagi Olahragawan dan Olahragawati, RM7,000 bagi Pasukan Terbaik Lelaki dan Wanita serta RM20,000 bagi atlet yang memecahkan rekod kebangsaan baharu.
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut menyeru atlet supaya membawa semangat kesukanan dan kemerdekaan dengan berjuang bersungguh-sungguh, menghormati lawan serta menjadikan ilmu dan sukan sebagai asas membina masa depan negara.
SUKIPT 2026 akan melabuhkan tirai pada 6 September ini menerusi Majlis Penutupan Rasmi di Dewan Tunku Canselor (DTC), UM yang akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim, dengan harapan daripada ribuan atlet yang berkumpul akan lahir juara baharu Malaysia — juara di IPT, ASEAN, Asia dan suatu hari nanti di pentas dunia.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Encik Ahmad Rizal Adnan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Naib Canselor UM, Dato’ Seri Prof. Ir Dr. Noor Azuan Abu Osman; Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa; serta Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan Bahagian Perancangan Strategik KPT, Dr. Hanafiah Ayub.
- Last updated on .
- Hits: 465
