Semarak Kampus UTM Dekatkan Kepimpinan KPT Dengan Realiti Kehidupan Kampus

3 Julai 2026 | Johor Bahru, Johor
Program Semarak Kampus di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diteruskan dengan pelbagai pengisian yang membolehkan kepimpinan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memahami sendiri realiti kehidupan kampus menerusi pendekatan yang mengutamakan kebersamaan, interaksi dan pengalaman secara langsung bersama warga universiti.
Berbeza daripada lawatan rasmi yang lazim, program selama dua (2) hari itu memberi ruang kepada Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, bersama barisan kepimpinan KPT meluangkan masa bersama warga kampus bagi mendengar pandangan, memahami suasana pembelajaran serta meneliti sendiri keperluan sebenar komuniti universiti.
Sepanjang program tersebut,YB Menteri bersama kepimpinan kementerian menginap di kampus, menunaikan Solat Subuh berjemaah, menyertai sesi Telaah serta bersarapan bersama warga kampus sebelum meneruskan pelbagai pengisian sepanjang hari.
Susulan itu, hari kedua Program Semarak Kampus diteruskan menerusi UTM Sihat Lestari Perdana yang menghimpunkan kira-kira 250 pensyarah, kakitangan dan mahasiswa dalam aktiviti yang menggalakkan pembudayaan gaya hidup sihat di kampus.
Program dimulakan dengan sesi regangan sebelum peserta menyertai aktiviti briskwalk sejauh 2.7 kilometer dari Dataran Resak Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) ke Balai Cerap UTM yang turut membuka ruang kepada Menteri berinteraksi secara santai dengan warga universiti sambil bertukar pandangan mengenai kehidupan kampus.
Selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat, aktiviti tersebut turut mengeratkan hubungan antara kepimpinan Kementerian dengan warga universiti menerusi komunikasi dua hala dalam suasana yang lebih terbuka dan mesra.
Pada masa sama, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut mengadakan lawatan ke beberapa lokasi lain, antaranya Makmal Aero, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Sains serta beberapa fasiliti usang bagi meninjau sendiri keperluan penyelenggaraan, penaiktarafan dan pembangunan infrastruktur universiti.
Lawatan tersebut memberi peluang kepada beliau melihat sendiri keadaan sebenar fasiliti yang digunakan warga kampus, sekali gus memperoleh gambaran lebih menyeluruh mengenai cabaran yang dihadapi universiti dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Pendekatan yang diketengahkan menerusi Program Semarak Kampus memperlihatkan komitmen KPT untuk tidak hanya mendengar pandangan warga universiti menerusi sesi dialog, malah memahami sendiri pengalaman dan realiti kehidupan kampus melalui penglibatan secara langsung bersama komuniti universiti.
Program Semarak Kampus di UTM mengakhiri siri pengisiannya dengan pendekatan yang menzahirkan iltizam KPT untuk terus mendengar, memahami dan bertindak berasaskan keperluan sebenar warga universiti dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara.
- Last updated on .
- Hits: 215
