Reformasi AUKU Buka Era Baharu Pendidikan Tinggi Negara

Reformasi AUKU Buka Era Baharu Pendidikan Tinggi Negara

27 Ogos 2026 | Kuala Lumpur

Reformasi pendidikan tinggi negara perlu membuka ruang baharu kepada universiti untuk berkembang sebagai pusat ilmu, penyelidikan dan pemikiran yang dinamik, dengan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) menjadi antara langkah penting dalam perubahan itu.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata pendidikan tinggi tidak lagi boleh bergerak dalam kerangka lama ketika negara berdepan perubahan pesat termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI), teknologi dan keperluan kemahiran baharu.

Beliau berkata universiti perlu terus menjadi medan pembelajaran dan kecemerlangan yang memberikan ruang kepada mahasiswa serta ahli akademik untuk berfikir secara kritis, mengemukakan pandangan dan menghasilkan karya ilmiah.

Menurut beliau, kebebasan mahasiswa perlu diberikan dengan lebih luas supaya universiti menjadi gelanggang kepada pemikiran kritis dan segar, manakala perbezaan pandangan hendaklah diraikan melalui perbahasan serta pertukaran idea yang matang.

YAB Dato' Seri Anwar berkata pemansuhan AUKU juga tidak bermaksud wujudnya ruang tanpa batasan, sebaliknya kebebasan tersebut perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab serta penghormatan terhadap undang-undang dan tatakelola universiti.

Beliau berkata kerajaan mahu beberapa langkah berkaitan kebebasan mahasiswa dan kebebasan akademik dilaksanakan segera, manakala kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi disediakan berdasarkan hala tuju reformasi yang lebih menyeluruh.

Pada masa sama, beliau menetapkan supaya proses berkenaan dipercepat dengan beberapa langkah segera dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri dan kerangka perundangan baharu disasarkan dapat dibentangkan sebelum akhir sidang Parlimen pada November ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata reformasi AUKU perlu dilihat sebagai sebahagian daripada perubahan keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi dan bukan berdiri secara bersendirian.

Beliau berkata Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang dibangunkan melalui pandangan lebih 8,000 orang pemegang taruh menjadi kerangka penting untuk menggerakkan perubahan sistem pendidikan tinggi yang lebih fleksibel dan adaptif terhadap keperluan masa depan.

Menurutnya, antara anjakan yang digariskan ialah pendekatan 'perungkaian sistem pendidikan tinggi (unbundling higher education system)' yang melihat pendidikan tinggi tidak lagi semata-mata berasaskan model kampus tradisional, sebaliknya turut mengambil kira bentuk pembelajaran yang lebih fleksibel dan bersesuaian dengan perubahan teknologi.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga sedang meneliti AUKU bersama beberapa akta lain berkaitan pendidikan tinggi bagi membentuk kerangka perundangan yang lebih menyeluruh menerusi cadangan Akta Pendidikan Tinggi Tunggal (One Higher Education Act, OHEA) untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

Beliau berkata proses penyediaan kerangka baharu itu akan mengambil kira pandangan tiga (3) komponen utama ekosistem pendidikan tinggi iaitu mahasiswa, ahli akademik dan pentadbir universiti bagi memastikan perubahan yang dilaksanakan memberi manfaat kepada sistem pendidikan tinggi masa kini dan masa depan.

Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), YM Tengku Datuk Dr. Mohd Azzman Shariffadeen berkata pendidikan negara perlu beralih daripada pembelajaran berasaskan kandungan kepada pembelajaran berasaskan inkuiri, penyelesaian masalah sebenar serta laluan pembelajaran yang lebih fleksibel dan berteraskan pembelajaran sepanjang hayat.

Beliau berkata perubahan itu penting bagi melahirkan 'pembelajar berorientasikan tujuan (purpose-driven learners)' yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi turut berakhlak, berdaya tahan serta mempunyai kebijaksanaan membuat keputusan yang tepat dalam menghadapi masa depan yang sukar diramalkan.

Menteri Pendidikan, YB Datuk Seri Fadhlina Sidek pula menekankan kepentingan pendidikan manusiawi yang melihat pelajar bukan sekadar berdasarkan gred peperiksaan atau keperluan pasaran pekerjaan, sebaliknya sebagai insan yang perlu dibentuk secara menyeluruh dan seimbang.

Beliau berkata pembentukan karakter yang diterapkan menerusi sistem pendidikan perlu diteruskan ke peringkat pendidikan tinggi supaya mahasiswa yang menikmati ruang kebebasan dan autonomi turut memiliki nilai, tanggungjawab serta keupayaan menjadi pembina negara bangsa.

Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13 bertemakan “Pendidikan Masa Depan Negara dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)” di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, malam semalam menghimpunkan YAB Dato' Seri Perdana Menteri selaku moderator bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Menteri Pendidikan dan Presiden ASM bagi membincangkan hala tuju reformasi serta masa depan pendidikan negara.

  • Last updated on .
  • Hits: 82
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 28 Ogos 2026, 03:02:14.

logo-sirim