Putrajaya FOI 2026: Malaysia Hargai Sokongan Rakan Antarabangsa Kukuhkan Agenda Pendidikan Tinggi Negara

20 November 2026 | Putrajaya
Majlis Makan Malam Jalinan Pendidikan Malaysia (Malaysia EduConnect Gala Dinner) menjadi wadah penghargaan kepada kenamaan dan delegasi antarabangsa yang menyokong usaha Malaysia melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam mengangkat martabat pendidikan tinggi negara serta memperluas jaringan kerjasama di peringkat global.
Delegasi dari Indonesia, Filipina, Timor-Leste, Kazakhstan dan Türkiye berada di Malaysia selama tiga (3) hari bagi menyaksikan penganjuran Festival Idea Putrajaya ( Putrajaya FOI) 2026 buat kali ketiga, selain menyertai pelbagai sesi dialog dan forum yang menghimpunkan pemimpin serta pemegang taruh pendidikan antarabangsa.
Antara pengisian utama ialah siri perbincangan peringkat menteri berkaitan kesihatan planet serta forum bertajuk “Pendidikan: Daripada Idea Nasional kepada Tindakan Nasional” yang membuka ruang pertukaran pandangan mengenai hala tuju pendidikan dan pendekatan menterjemahkan gagasan kepada tindakan di peringkat negara.
Bertemakan “Menghubungkan Negara, Menginspirasikan Generasi”, majlis itu turut mencerminkan peranan pendidikan tinggi dalam membina hubungan jangka panjang antara negara menerusi pertukaran ilmu, pengalaman pendidikan rentas budaya serta kerjasama ahli akademik dan penyelidik bagi menangani cabaran global yang semakin kompleks.
Usaha memperluas jaringan berkenaan selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang menggariskan reputasi global dan kerjasama antarabangsa sebagai keutamaan bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi yang diyakini serta meningkatkan pengiktirafan institusi negara di peringkat antarabangsa.
Hadir sama, Pengerusi Suruhanjaya Pendidikan Tinggi Filipina, TYT Dr. Shirley Castañeda Agrupis; Menteri Perancangan dan Pelaburan Strategik Timor-Leste, TYT Eng. Gastão Francisco de Sousa; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia, TYT Prof. Dr. Fauzan; Anggota Lembaga Eksekutif Majlis Pendidikan Tinggi Türkiye, Prof. Dr. Hayrunnisa Bolay Belen; serta Ketua Pakar Jabatan Kerjasama Antarabangsa, Kementerian Sains dan Pendidikan Tinggi Kazakhstan, Yerkegali Tlekkali.
“Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”
- Last updated on .
- Hits: 66
