Putrajaya FOI 2026: DICE Lahirkan 226 Syarikat Pemula Mahasiswa, KPT Sasar Ekosistem Usahawan Digital di IPT

18 November 2026 | Putrajaya
Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2026 terus mengetengahkan potensi inovasi dan keusahawanan mahasiswa menerusi Program Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 4.0 yang berjaya menghasilkan 226 syarikat pemula pelajar sepanjang empat (4) edisi penganjurannya.
Pencapaian itu mencerminkan keupayaan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) melahirkan generasi graduan yang bukan sahaja menguasai kemahiran teknologi dan kreativiti, malah mampu membangunkan produk, menjana pendapatan serta mewujudkan peluang pekerjaan.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, perubahan landskap ekonomi digital menuntut universiti mengubah pendekatan pendidikan dengan memberi ruang lebih luas kepada penghasilan idea, inovasi dan pembangunan perniagaan dalam kalangan mahasiswa.
Sehubungan itu, beliau mahu setiap universiti membangunkan ekosistem syarikat pemula (start-up) dengan sokongan peruntukan, bimbingan kepakaran serta kerjasama industri bagi membolehkan mahasiswa meneroka peluang keusahawanan sejak di bangku pengajian.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan DICE 4.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini, yang merupakan antara pengisian Putrajaya FOI 2026 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dari 17 hingga 19 November.
Bagi edisi keempat, DICE 4.0 bertemakan Warisan menghimpunkan 350 orang peserta dalam 70 kumpulan syarikat pemula dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Nigeria menerusi lima (5) kategori pertandingan, iaitu filem pendek, animasi pendek, media interaktif berasaskan realiti terimbuh dan realiti maya (AR/VR), permainan digital serta reka bentuk perindustrian.
Program itu turut mencatat perkembangan apabila kesemua 70 kumpulan peserta memperoleh surat hasrat (Letter of Intent – LOI) bersama pihak industri, manakala penglibatan lebih 30 agensi dan rakan industri membuka ruang kepada bimbingan profesional serta potensi kerjasama komersial.
Kemuncak program menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang tempat pertama dan kedua bagi lima (5) kategori pertandingan dengan keseluruhan ganjaran berjumlah RM113,500 merangkumi dana KPT, penyertaan ke SIGGRAPH Asia 2026, program inkubator serta sokongan pembangunan syarikat pemula daripada rakan industri.
Selain menghasilkan syarikat pemula mahasiswa, DICE turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi kategori Most Digital Start-up Projects by Students in an International Programme serta pendaftaran cap dagangan yang mengukuhkan identitinya sebagai jenama KPT.
Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Encik Ahmad Rizal Adnan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh serta Naib Canselor UniSZA, Dato’ Prof. Dr. Fadzli Adam.
“Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”
- Last updated on .
- Hits: 117
