Putrajaya FOI 2026: Akademia Berperanan Bentuk Model AI Berteraskan Kemanusiaan

Putrajaya FOI 2026: Akademia Berperanan Bentuk Model AI Berteraskan Kemanusiaan

18 November 2026 | Putrajaya

Peranan golongan akademia dalam membentuk hala tuju kecerdasan buatan (AI) negara berteraskan nilai kemanusiaan menjadi antara fokus Konvensyen Akademia 2026, salah satu pengisian Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata Malaysia perlu membangunkan model AI tersendiri yang berteraskan kemanusiaan bagi memastikan kemajuan teknologi seiring dengan keupayaan intelektual, pemikiran kritis dan kesejahteraan masyarakat.

Beliau berkata perkembangan AI kini melangkaui fungsi sebagai alat bantuan apabila teknologi berkenaan semakin berupaya melaksanakan tugas secara autonomi, sekali gus membawa cabaran baharu terhadap kehidupan dan cara manusia berfikir.

Menurutnya, golongan akademia mempunyai peranan penting dalam membentuk pendekatan tersebut, termasuk mengintegrasikan AI dalam bidang sains sosial serta menerapkan perspektif kemanusiaan dalam pengajian kejuruteraan dan teknikal.

"Kita mesti mewujudkan sebuah negara yang bersandarkan kepada minda," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Akademia 2026 bertemakan Memperkasa Masa Hadapan Malaysia dalam Era AI.

Beliau turut mengingatkan bahawa kemudahan AI yang menyediakan maklumat dengan pantas tidak seharusnya menghakis budaya penelitian mendalam, pemikiran kritis dan keupayaan menilai kesahihan sesuatu maklumat dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan budaya perbezaan pandangan dan teguran membina dalam dunia akademia kerana keterbukaan terhadap perspektif berbeza merupakan sebahagian daripada tradisi keilmuan yang perlu dipelihara.
Konvensyen anjuran Akademi Profesor Malaysia (APM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu menghimpunkan komuniti akademia untuk membincangkan lima teras utama, iaitu Protect, Prepare, Create, Apply dan Govern yang merangkumi aspek keselamatan, pembangunan bakat, penyelidikan dan inovasi, penerapan AI serta tadbir urus teknologi secara bertanggungjawab.

Dalam konteks penganjuran FOI 2026, konvensyen berkenaan turut menyediakan ruang kepada kepakaran profesor untuk menyumbang idea dan cadangan berasaskan ilmu bagi menangani cabaran negara dalam era AI, selain menghubungkan perbincangan akademik dengan keperluan dasar dan pembangunan nasional.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar; Presiden APM, Prof. Dato’ Ir. Dr. Saleh Jaafar dan Pengerusi Konvensyen Akademia 2026, Prof. Dr. Nordin Yahaya serta naib-naib canselor, rektor Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan wakil industri.

Pada majlis sama, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry turut menyempurnakan peluncuran buku Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi: Pendekatan Berkesan dalam Pembangunan Model dan Kamus hasil penulisan enam orang penulis daripada beberapa IPT dan APM.

“Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”

  • Last updated on .
  • Hits: 75
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 18 November 2026, 09:29:19.

logo-sirim