Presiden Afrika Selatan Dianugerah Ijazah Kehormat UM, Kongsi Wawasan Diplomasi Global
Tuanku Canselor Universiti Malaya (UM), DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, telah berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Khas universiti itu bagi menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa kepada Presiden Afrika Selatan, TYT Matamela Cyril Ramaphosa siang tadi.
Penganugerahan tersebut merupakan satu penghormatan tertinggi dan pengiktirafan dari Kerajaan Malaysia melalui Universiti Malaya terhadap sumbangan signifikan beliau dalam bidang Diplomasi Global, Perundingan Antarabangsa dan sebagai seorang perunding serta pakar strategi yang berpengalaman.
TYT Matamela Cyril Ramaphosa dilahirkan di Johannesburg dan telah melanjutkan pengajian undang-undang di Universiti Utara pada 1972, di mana beliau mula aktif dalam politik pelajar menentang apartheid sehingga ditahan dua (2) kali antara 1974 dan 1976.
Selepas menamatkan ijazah B. Proc di UNISA pada 1981, beliau menubuhkan National Union of Mineworkers (NUM) pada 1982, menjadikannya kesatuan pekerja terbesar di Afrika Selatan.
Beliau kemudiannya menjadi ketua perunding dalam CODESA, proses yang membawa kepada kelahiran perlembagaan demokratik Afrika Selatan, dan dilantik sebagai Pengerusi Constitutional Assembly selepas pilihan raya 1994.
TYT Ramaphosa berada di Malaysia bagi mengadakan lawatan rasmi dari 24 hingga 27 Oktober 2025, di mana beliau hadir sebagai Tetamu Pengerusi untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Pada istiadat tersebut, TYT Ramaphosa turut menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk "South-South Diplomacy in the 21st Century: Malaysia and South Africa".
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang; dan Naib Canselor UM, Dato' Seri Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 194